Menjelang aksi persahabatan tertutup menentang Malaysia esok, Nepal membawa barisan pemain berkaliber.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) mengumumkan barisan pemain yang diturunkan untuk aksi persahabatan menentang Harimau Malaya dan dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Bahrain.
Pasukan yang diberi jolokan The Gorkhalis itu tempang tanpa khidmat pemain tengah Persik Kediri, Rohit Chand.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu terpaksa disisihkan oleh jurulatih Itali, Vincenzo Alberto Annese kerana mengalami kecederaan sejak akhir Februari lalu.
Annese boleh menghela nafas lega kerana beberapa pemain tonggak dapat dipanggil untuk skuad kali ini.
Antara tonggak The Gorkhalis yang dikekalkan ialah kapten Kiran Chemjong, Sanish Shrestha, Laken Limbu, Utsab Rai, Anjan Bista dan Jung Karki.
Nepal bakal menentang Harimau Malaya dalam aksi persahabatan tertutup yang berlangsung esok. Ini disusuli dua aksi kelayakan menentang Bahrain pada 21 dan 26 Mac ini.