Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong selamat menjalani pembedahan untuk kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) di Doha, Qatar.
Perkara ini disahkan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh apabila ditanya perkembangan terkini pemain berusia 25 tahun itu.
Kenny memaklumkan Tze Yong selamat menjalani pembedahan di Hospital Perubatan Sukan dan Ortopedik Aspetar.
Naib juara Arctic Open 2023 itu akan menjalani proses pemulihan antara empat hingga enam minggu sebelum ke Malaysia.
“Setakat ini, berita yang kami terima ialah Tze Yong dalam keadaan baik. Pembedahan pun selamat dijalankan,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Basari.
Untuk rekod, Tze Yong baru saja kembali pada April lalu. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya mengalami kecederaan ketika aksi pusingan pertama Malaysia Masters pada Mei lalu.
Kejohanan itu merupakan sebahagian daripada empat kejohanan yang disertai Tze Yong pada 2025. Selain Malaysia Masters, beliau turut menyertai Badminton Asia Championships (BAC), Taiwan Open dan Thailand Open.