Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son dilaporkan akan berehat lebih lama daripada jangkaan sebenar sebelum kembali beraksi di atas padang.
Perkara tersebut dikongsikan oleh media bola sepak terkemuka Asia Tenggara, Asean Football melalui satu hantaran di laman X baru-baru ini.
Sebelum ini, MakanBola melaporkan bahawa Xuan Son akan berehat 6 bulan namun selepas pembedahan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa Xuan Son memerlukan sekurang-kurangnya 8 bulan untuk pulih sepenuhnya.
Xuan Son menerima kecederaan ngeri iaitu patah kaki ketika perlawanan akhir kedua Piala Mitsubishi Electric Asean menentang Thailand pada Ahad.
“Nguyen Xuan Son telah selamat menjalani pembedahan berikutan kecederaan ngeri yang dialaminya semasa perlawanan akhir Kejohanan (Mitsubishi Electric) ASEAN 2024.
“Jika semuanya berjalan lancar, Xuan Son boleh kembali ke peringkat tertinggi bola sepak dalam masa 8 bulan,” kongsi Asean Football di laman X.
Xuan Son merupakan pemain yang paling menyerlah di kejohanan tersebut dengan meraih dua anugerah iaitu pemain terbaik kejohanan selain penjaring terbanyak kejohanan dengan 7 jaringan.