Pemain sayap dari Itali, Nicolao Cardoso menanam azam baharu selepas berhijrah keluar dari Johor Darul Ta’zim (JDT),
Cardoso, 32 baru sahaja diumumkan sebagai pemain import kelab Liga Indonesia, PSS Sleman dan beliau merupakan import kelapan kelab tersebut bagi musim Liga 1 2024/2025.
Selepas tiba di Indonesia, Cardoso berharap agar dapat meraih minit permainan yang banyak selepas gagal meraih sebarang penampilan bersama JDT.
“Secara peribadinya, sudah tentu saya inginkan minit permainan yang banyak untuk PSS Sleman pada pertandingan ini. Kemudian memberikan persembahan terbaik di setiap perlawanan, mencetak gol dan memberikan umpanan-umpanan kepada penyerang,” jelas Cardoso seperti yang dilaporkan Bola.
Cardoso menyertai Danilo Alves, Cleberson, Gustavo Tocantins, Moon Chang-jin, Phil Ofosu-Ayeh, Betinho dan Alan Bernardon sebagai tonggak import Laskar Sembada.
Sejarah karier Cardoso membuktikan beliau pernah berada di puncak karier apabila pernah menyarung jersi kelab gergasi Serie A Itali, Napoli pada tahun 2011.
Menerusi tinjauan di laman Transfermarkt, perpindahan Cardoso ini adalah perpindahan pinjaman dan bukannya perpindahan tetap.