Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil secara rasminya meletakkan jawatan selaku pengendali pasukan.
Jurulatih berusia 44 tahun itu mengambil alih tugas daripada rakan sejawat, Tan Cheng Hoe yang meninggalkan Gergasi Merah untuk ke Thailand.
Selangor mengharugi permulaan cemerlang di bawah kendaliannya apabila menjulang tiga trofi pada awal musim.
Tekanan mula dirasai apabila Selangor tewas besar pada aksi final Piala FA 2024 kepada JDT dengan keputusan 6-1.
Situasi tegang semakin memuncak apabila Merah Kuning sekali lagi tunduk kepada anak buah Hector Bidoglio di MBPJ dengan keputusan 3-0.
Menerusi satu kenyataan oleh Selangor FC, Nidzam secara rasminya telah melepaskan jawatannya selaku pengendali pasukan.
“Selangor FC mengumumkan bahawa Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil telah meletakkan jawatannya, berkuatkuasa serta-merta.
“Beliau telah memohon untuk mengundur diri dari mengemudi pasukan utama Selangor FC dan pihak kelab menghormati keputusan beliau.
Selangor bagaimanapun mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang disumbangkan oleh Nidzam sepanjang bersama pasukan.
“Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Di bawah bimbingan beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama, Selangor FC kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan AFC Champions League Two.
“Beliau banyak memupuk semangat kompetitif dalam kalangan pemain dan kepimpinan belia memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini,” ujar Selangor FC.
Tugas Ketua Jurulatih pasukan utama Selangor FC akan digalas oleh Abdi Hassan secara interim sementara kelab mengenal pasti Ketua Jurulatih baharu.