Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil mengakui pasukannya tidak memberikan fokus yang sepenuhnya sehingga tamat wisel permainan.
The Red Giants terpaksa akur apabila PDRM berjaya bangkit mengikat pada saat akhir dalam saingan Liga Super semalam.
Beliau menyatakan bahwa masalah yang dihadapi oleh Selangor masih berulang seperti tahun lepas. Selangor kerap dibolosi pada saat akhir sehingga menyebabkan gagal meraih tiga mata berharga.
“Semestinya kami tidak begitu gembira dengan pengakhiran ini, kami kurang fokus dalam tiga atau empat minit sebelum perlawanan berakhir. Jika tidak ambil kesempatan, mereka akan menghukum kami dengan jaringan. Kami perlu bangkit kembali.
“Saya rasa kami perlu tahu untuk mematikan perlawanan, tidak boleh biarkan terlalu banyak peluang. Tahun lalu kita juga ada masalah yang sama, kami perlu belajar lagi,” kata Nidzam Jamil selepas tamat perlawanan di Astro Arena.
Nidzam Jamil turut menegaskan kepada anak buahnya untuk lebih memberi fokus dengan aksi seterusnya kerana akan berdepan dua pasukan terkuat di Asia.
“Minggu depan adalah Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) kemudian berdepan Johor Darul Ta’zim merupakan cabaran yang besar buat kami. Fokus utama kini adalah pemulihan dan kecederaan pemain,” kata Nidzam Jamil.
Ketika ini, Selangor berada di tangga kedua Liga Super dengan 26 mata sementara bagi saingan ACL2 pula juga berada ditangga kedua dengan 4 mata dibelakang Jeonbuk.