Nik Nazmi Kemuka Barisan Calon Ahli Jawatankuasa KLFA
MakanBola
Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengemukakan barisan figura pasukannya untuk merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Pengumuman ini dibuat tidak lama selepas pencabar beliau yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan barisan calon untuk jawatan tertinggi KLFA.

Antara figura yang menjadi sebahagian daripada pasukan Fahmi ialah pengarah KL United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar. Syed Yazid dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden KLFA.

Sementara Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Ramlan Askolani, Datuk Azman Abidin dan Datuk Mohd Razlan Rafii pula dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.

Kini, giliran Nik Nazmi pula mengemukakan barisan calon untuk merebut jawatan tertinggi KLFA. Senarai calon berkenaan diumumkan di platform X beliau.

Penasihat Setiawangsa Rangers, Dato Azril Mat Drus dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden.

Manakala Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, Senator Datuk Hj Mohd Hisamudin Yahya, Hj Mohamad Hamim dan Datuk Sham Shamrat Sen Gupta pula dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa pula mengetuai senarai beberapa figura korporat dan sukan Kuala Lumpur sebagai calon EXCO KLFA.

Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid. Ini susulan tindakan penyandang sebelumnya merangkap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengundur diri pada awal tahun ini.

Pemilihan baru jawatankuasa tertinggi KLFA bakal diadakan dalam Kongres KLFA yang akan diadakan pada 7 September ini.