Advertisement
Nistelrooy Lulus Ujian Pertama, Tamatkan Kemarau Kemenangan Leicester
EPL
MakanBola
Leicester City FC

Legenda Manchester United, Ruud van Nistelrooy membantu kelab barunya, Leicester City menewaskan West Ham United dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas tempohnya sebagai jurulatih interim United berakhir, The Foxes pantas mendapatkan jurulatih berusia 48 tahun itu sebagai pengganti Steve Cooper.

Nistelrooy menyedari beliau berdepan tugas berat untuk membantu Leicester kekal dalam EPL. Ini kerana dalam aksi sebelumnya, The Foxes dibelasah Brentford 4-1 pada 30 November lalu.

Situasi ini mendorong Nistelrooy menggugurkan Wout Faes di bahagian bek tengah. Bekas bek tengah Wolverhampton Wanderers, Conor Coady dipilih bergandingan dengan Jannik Vestergaard.

The Foxes tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Jamie Vardy seawal minit kedua. Meskipun gol tersebut pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, gol Vardy disahkan menerusi semakan VAR.

Tersentak, West Ham yang dibimbing Julen Lopetegui melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu pertahanan Leicester. Ini memaksa Mads Hermansen bekerja keras menafikan setiap percubaan pelawat.

Percubaan terbaik The Hammers hadir menerusi pemain sayap England, Jarrod Bowen. Malangnya, percubaan beliau berjaya dinafikan Hermansen sekaligus memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Leicester terus berusaha mencari peluang menembusi gawang West Ham.

Peluang itu akhirnya muncul pada minit ke-61 menerusi Bilal El Khannouss. Bekas pemain KRC Genk itu mudah menyempurnakan hantaran Kasey McAteer untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Lukasz Fabianski.

West Ham makin derita apabila penyerang Zambia, Patson Daka menyumbat gol ketiga The Foxes pada minit ke-90. Gol saguhati Niclas Fullkrug sudah terlewat untuk menghalang kemenangan pertama Nistelrooy bersama Leicester.

Keputusan ini menyaksikan Leicester kini mengutip 13 mata, dua mata di belakang di West Ham yang menduduki tempat ke-14. Kecemerlangan El Khannouss diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.3.

Selepas ini, The Foxes akan melayan kunjungan Brighton pada 8 Disember. The Hammers pula akan melayan kunjungan Wolves pada 10 Disember.