Pemain tengah kebangsaan, Nooa Laine berazam untuk memberikan yang terbaik di kejohanan Pesta Bola Merdeka, Jumaat ini.
Bakal beraksi buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, pemain berusia 20 tahun ini bangga diberi kepercayaan untuk bersama skuad Harimau Malaya.
Beliau menzahirkan rasa teruja dan gembira mendapat panggilan ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon kali ini.
“Setiap kali saya bermain untuk Malaysia, ia merupakan satu penghormatan. Hari demi hari saya semakin serasi dan saya gembira berada disini.”
“Semestinya kita mahukan kemenangan. Ya kita dapat lihat perbezaan ranking disitu, jadi perlawanan ini bakal sengit dan kita perlu berikan terbaik.”
Bintang muda yang beraksi di Liga Finland ini juga akui perlu bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
“Ya kita mempunyai pemain yang ramai di bahagian tengah. Semua ada kualiti tersendiri dan untuk saya, saya perlu berjuang untuk mendapat tempat,” ujar beliau ketika sesi latihan di Wisma FAM, hari ini.
Malaysia bakal berdepan India, di Pesta Bola Merdeka pada Jumaat, 13 Oktober 2023. Pemenang bagi aksi ini bakal berdepan Tajkistan di pentas final pada Selasa, 17 Oktober 2023.