KL Wildcats meraih kejuaraan kedua Netball Super League (NSL) dengan menewaskan Putrajaya Dynamites di pentas final musim 2025.
Aksi final dilihat peluang terbaik buat pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu untuk membalas dendam ke atas Putrajaya Dynamites.
Ini selepas KL Wildcats tewas 57-43 kepada lawan sama dalam perlawanan yang berlangsung pada 14 Februari lalu.
Kedua-dua pasukan memilih menurunkan barisan terkuat untuk memburu gelaran juara. Putrajaya Dynamites mengetengahkan Fattimah Dino dan Muhluri Hlatshwayo.
KL Wildcats pula terus memberi kepercayaan kepada Nakitto Christine dan Nassanga Shadiah untuk memburu gelaran juara pertama sejak musim 2021.
Suku pertama menyaksikan KL Wildcats selesa mendahului Putrajaya Dynamites pada kedudukan 12-7. Kelebihan itu semakin dilebarkan kepada 26-17 menjelang rehat separuh masa.
Suku ketiga menyaksikan Putrajaya Dynamites yang dibimbing Puah Pei San berjaya menyamakan kedudukan 33-33.
Suku keempat menyaksikan kedua-dua pasukan terus bersaing mendapatkan mata. Pada akhirnya, KL Wildcats muncul juara dengan meraih keputusan 46-45.
Keputusan ini menyaksikan KL Wildcats meraih kejuaraan kedua NSL selepas kali terakhir melakukannya pada 2021.
Johor Jewels muncul pasukan ketiga terbaik NSL. Ini selepas pasukan itu mengalahkan Perak Phoenix 40-32 dalam aksi penentuan tempat ketiga.