Nualphan Lamsam – Tulang Belakang Kempen Piala AFF Thailand
Dunia
Bangkok Post
Advertisements

Benarlah kata pujangga, kejayaan seorang lelaki tidak akan terlakar tanpa sokongan seorang wanita. Jika ia diaplikasikan kepada kejayaan kempen Piala AFF Thailand, maka pengurus mereka Nualphan Lamsam selayaknya mendapat penghargaan atas pencapaian tersebut.

Lamsam bukan calang-calang sebagai pengurus pasukan Thailand. Wanita berusia 55 tahun ini merupakan generasi kelima keluarga jutawan Lamsam yang bertanggungjawab menubuhkan Kasikornbank dengan kekayaan melebihi RM925.7 bilion. Turut dikenali sebagai Puan Pang, Lamsam juga merupakan Presiden dan CEO Muang Thai Insurance.

Dengan kekayaan sebegini, tidak hairanlah mengapa beliau sanggup berbelanja besar demi menjaga kebajikan kontinjen Piala AFF Thailand. Misalnya, selepas berjaya layak ke peringkat separuh akhir, Lamsam memberi bonus sebanyak 20 juta baht (RM2.5 juta) kepada pemain dan staf kejurulatihan. Satu cabutan bertuah dalam kalangan mereka turut diadakan dengan pemenang menerima hadiah berupa jam Rolex, iPhone 13 dan beg-beg berjenama.

Advertisements

Semasa ditemubual akhbar The Straits Times, beliau mengakui ia bukan sesuatu yang mudah bagi pemain untuk berada dalam gelembung Covid-19 sepanjang kejohanan berlangsung. Justeru, amat penting untuk menerapkan semangat kekeluargaan dalam kalangan pemain dan staf kejurulatihan.

Tambahnya, “Mereka perlu berseronok, mereka perlu bergelak ketawa dan tidak terperap dalam bilik penginapan. Adakalanya, kita perlu berehat dan menjalin hubungan antara satu sama lain kerana bola sepak merupakan sukan berpasukan.” Sentuhan peribadi Lamsam nyata memberi motivasi kepada pemain untuk berjuang habis-habisan di atas padang seperti diakui penyerang Supachok Sarachat.

Mungkin ada menganggap Puan Pang tidak berpengalaman mengendalikan kontinjen Thailand untuk sesebuah kejohanan besar. Hakikatnya, beliau berpengalaman menguruskan kontinjen Thailand ke Sukan Orang Kelainan Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan 2006. Lamsam juga bertanggungjawab menjaga hal ehwal pengurusan pasukan bola sepak wanita negara Gajah Putih itu dari 2008 hingga 2019. Di bawah pemantauannya, Thailand layak ke Piala Dunia Wanita 2015 dan 2019.

Advertisements

Disebabkan minatnya kepada bola sepak, Lamsam juga turut menceburi dunia pemilikan kelab bola sepak. Ia diterjemah menerusi pengambilalihan kelab Liga 1 Thai, Port FC pada 2015. Pasukan itu melakar pencapaian memenangi Piala FA Thailand pada 2019.

Lamsam juga bertanggungjawab menyakinkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) untuk mengupah jurulatih Alexandre Polking dan pembantunya Nuengrutai Srathongvian. Polking yang sebelum ini merupakan jurulatih Bangkok United dikenali kerana gemar corak permainan menyerang yang bertenaga. Dan ini dapat dilihat pada corak permainan Thailand semasa Piala AFF yang gagal ditandingi sesiapa termasuk lawan mereka di final pusingan pertama Piala AFF, Indonesia.

Selain corak permainan bertenaga, Polking beruntung kerana dapat memanggil beberapa pemain berpangkalan di luar negara seperti Thanawat Suengchitthawon (Leicester City), Kawin Thamsatchanan dan Chanathip Songkrasin (Consadole Sapporo). Ini terhasil menerusi kemahiran diplomatik dan hubungan baik Lamsam dengan kelab-kelab luar Thailand.

Advertisements

Jutawan Thailand itu bukan saja menjaga kebajikan pemain di atas padang tetapi di luar padang juga. Buktinya, ramai pemain wanita Thailand dibantu untuk melanjutkan pengajian atau mendapatkan pekerjaan. Ini kerana kebanyakan pemain berasal daripada keluarga miskin yang tinggal di luar bandar. Dengan membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan, ia secara tidak langsung mendorong pemain-pemain ini membantu keluarga mereka.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram