Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan berjaya memecahkan rekod kebangsaan di pentas Olimpik Paris 2024.
Aniq yang bersaing dalam kategori lelaki 61kg memulakan angkatan seberat 126kg bagi acara snatch dengan penuh cemerlang.
Walau bagaimanapun, di angkatan ke-2 dengan bebanan seberat 130kg, Aniq tidak berjaya melaksanakan tugasan tersebut setelah barbell terlepas dari genggamannya.
Di angkatan ketiga bagi kategori snatch, Aniq tampil bertenaga dan berjaya menebus kedukaan sebelum itu dan menjulang angkatan seberat 130kg.
Dengan kejayaan ini, Aniq telah memahat namanya di dalam sejarah apabila memecahkan rekod kebangsaan yang dipegang oleh Aznil Bidin (129kg) sebelum ini.
Secara keseluruhan bagi kategori snatch, Aniq menduduki tempat keempat di belakang jaguh dari China, Indonesia dan juga Thailand sebelum beralih ke kategori Clean and Jerk.
Bagi kategori ini, Aniq cemerlang mengangkat bebanan seberat 167kg di angkatan pertama namun, badang berusia 22 tahun ini tidak berjaya melakukan di angkatan kedua dan ketiga dengan bebanan 174kg.
Ini sekaligus memadam hasrat anak jati Johor ini untuk menamatkan saingan di kedudukan podium apabila berada di tempat keempat dengan catatan keseluruhan 297kg.
Pingat emas menjadi milik atlet China, Li Fabin manakala pingat perak dan gangsa diperoleh Silachai Theerapong dari Thailand dan wakil Amerika Syarikat, Morris Hampton.