Jurulatih pasukan Oman Bawah 20 Tahun (B-20), Ahmad Al-Alawi melihat pasukannya sudah bersedia menghadapi cabaran Malaysia untuk aksi pertama kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Malaysia dan Oman berada dalam Kumpulan E untuk memburu tiket kelayakan ke kejohanan berprestij itu. Selain dua negara berkenaan, Sri Lanka, Korea Utara dan tuan rumah Tajikistan berada dalam kumpulan sama.
Meskipun ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu, Ahmad enggan memandang mudah cabaran anak buah Juan Torres Garrido itu. Ini kerana Malaysia juga menginginkan tiket kelayakan Piala Asia B-20 2025.
“Pasukan remaja negara kita bersedia untuk bersaing dalam kelayakan Asia. Semua pasukan (termasuk Malaysia) akan bermain untuk layak (ke Piala Asia 2025). Itu merupakan hak bagi semua pasukan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan pada 20 September lalu.
Atas sebab itu, Ahmad melihat Oman patut fokus kepada satu perlawanan terlebih dahulu. Ini bagi memastikan agenda layak ke Piala Asia B-20 2025 dapat dicapai.
“Pasukan ini bersedia menunjukkan tahap teknikal yang hebat dan bersaing untuk tiket pertama (juara kumpulan) dari Kumpulan E dan itu matlamat pertama kami.
“Semua pemain kami bersedia dan tidak mengalami kecederaan dan kami akan menilai setiap perlawanan secara satu persatu,” ujarnya.
Malaysia dan Oman bakal berentap di Stadium Republican Central di Dushanbe pada 21 September.