Menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Malaysia pada 21 Mac dan 26 Mac ini, Oman mengumumkan barisan 26 pemain mereka.
Pengumuman ini disiarkan menerusi satu hantaran di platform media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) hari ini.
Oman yang mendapat sentuhan jurulatih baru dari Republik Czech, Jaroslav Silhavy memilih mengekalkan majoriti pemain yang beraksi di Piala Asia 2023.
Antara nama yang dikekalkan bekas jurulatih Slavia Prague itu ialah kapten dan penjaga gol utama, Faiz Al-Rushaidi, Fahmi Durbin, Abdullah Fawaz, Ahmed Al-Khamisi dan Salah Al-Yahyaei.
Silhavy turut memanggil semula bek tengah berpengalaman, Mohammed Al-Musalami untuk memantapkan pilihan di bahagian pertahanan.
Sekiranya beliau diturunkan untuk dua aksi kelayakan itu, Mohammed berpeluang menambah 108 penampilan bersama Oman di peringkat antarabangsa.
Dengan saingan Oman Professional League berehat bermula hari ini sehingga 30 Mac, Silhavy memiliki tempoh 12 hari untuk membentuk anak buahnya sebagai satu unit yang mantap.
Harimau Malaya dan Oman bakal berentap di Muscat pada 21 Mac sebelum perlawanan timbal balik di Kuala Lumpur pada 26 Mac ini.