ONE Championship: Aksi Johan Ghazali vs Sean Climaco Ditangguhkan
UltraSukan
Johan Ghazali

Hasrat peminat sukan tanah air melihat kelibat jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali beraksi di gelanggang buat kali pertama pada 2026 terbantut.

Ini kerana aksi membabitkan beliau dan jaguh berdarah Filipina-Amerika Syarikat, Sean Climaco pada 23 Januari ini terpaksa ditangguhkan.

Keputusan tersebut dibuat ONE Championship selepas lawan Johan itu mengalami kecederaan kaki. Susulan itu, ONE Championship akan mengumumkan pertarungan beliau yang seterusnya.

“Sean Climaco telah mengalami kecederaan kaki dan pertarungannya dengan Johan Ghazali tidak akan berlangsung pada ONE Fight Night 39.

“Kami mendoakan agar Climaco cepat sembuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Perkara ini turut disahkan Johan dalam satu hantaran di Instagram. Jaguh yang mesra disapa Jojo itu bukan saja mendoakan Climaco cepat sembuh daripada kecederaan.

Malah, jaguh berusia 18 tahun itu berharap ONE Championship dapat menemukan lawan baharu buat dirinya sebelum bulan Ramadan tiba.

“Seperti yang anda tahu, pertarungan saya dibatalkan sebab Sean Climaco mengalami kecederaan,” katanya.

“Saya baru bercakap dengan ONE Championship. Saya sedia bertarung pada bila-bila masa dan secepat mungkin. Jadi, Insya Allah, mungkin saya akan dapat lawan sebelum bulan Ramadan.”

Johan turut memohon maaf kepada semua peminat atas kesulitan yang timbul disebabkan penangguhan aksi beliau dan Climaco.

Johan berharap dapat meneruskan momentum kemenangan pada tahun 2026 selepas menewaskan jaguh Maghribi, Zakaria El Jamari pada September 2025.