ONE Championship: Johan Ghazali Garang Tumbangkan Ye Yint Naung
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali meraih kemenangan kelapan dalam ONE Championship dengan menewaskan jaguh Myanmar, Ye Yint Naung dalam ONE Friday Nights 141.

Johan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Zakaria El Jamari pada akhir tahun lalu.

Yint Naung pula berharap dapat mencipta kejutan dalam penampilan pertamanya di pentas ONE Championship.

Pusingan pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua jaguh berhati-hati mengatur langkah demi mendapatkan kelebihan dalam gelanggang.

Segalanya berubah dalam pusingan kedua. Johan tampil lebih agresif dan mengasak Yint Naung habis-habisan sehingga menyebabkan muka jaguh Myanmar itu berdarah.

Rentak sama dikekalkan anak jati Sarawak itu dalam pusingan ketiga. Itu sudah cukup buat juri sebulat suara menganugerahkan kemenangan kepada Johan.

Johan bukan satu-satunya wakil Malaysia yang meraih kemenangan dalam ONE Friday Nights 141. Sebelum itu, Adam Rakib turut ceria apabila menewaskan jaguh Maghribi, Walid Snoussi.