Beberapa hari lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 27 pemain yang dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan. Daripada 27 pemain, lima daripadanya merupakan pemain Sabah – satu fakta yang membanggakan jurulatih mereka, Datuk Ong Kim Swee.
Lima pemain tersebut ialah penjaga gol Damien Lim, duo pertahanan Daniel Ting dan Dominic Tan, pemain tengah Stuart Wilkin dan penyerang Darren Lok. Bagi Kim Swee, ini menunjukkan pemain yang dipanggil Kim Pan-gon berkualiti dan mampu membantu Harimau Malaya di arena antarabangsa.
“Ini satu petanda yang baik bagi kelab Sabah FC di mana para pemain kita kini beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Dan saya harap pemain-pemain yang terpilih memberikan prestasi terbaik kerana mewakili negara itu satu perkara yang amat tinggi dalam karier bola sepak,” katanya dalam temubual bersama Astro Arena.
Barisan 27 pemain negara ini menampilkan gabungan muka lama dan baru. Selain Damien dan Daniel, Pan-gon turut memanggil Feroz Baharuddin, Fayadh Zulkifli Amin, Noaa Laine dan Sikh Izhan Nazrel.
Turut memperkuat skuad Harimau Malaya ialah dua pemain naturalisasi baru negara. Duo tersebut ialah kapten KL City, Paulo Josue dan penyerang baru Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick dos Santos.
Harimau Malaya bakal memulakan aksi persahabatan mereka menentang Turkmenistan pada 23 Mac sebelum disusuli perlawanan menentang Hong Kong pada 28 Mac. Kedua-dua perlawanan bakal diadakan di stadium keramat JDT, Stadium Sultan Ibrahim.