Selepas memilih beraksi di China sejak tahun 2017, bekas bintang Chelsea, Oscar mengumpul pendapatan berjumlah €175 juta (RM889 juta).
Nama pemain perancang Brazil itu menjadi tumpuan apabila memilih menyertai Shanghai Port pada tetingkap perpindahan musim sejuk 2017 dengan yuran perpindahan €35 juta (RM178 juta).
Dan bila ditanya sebab yang mendorongnya berhijrah ke China, Oscar memaklumkan beliau berbuat demikian kerana faktor wang.
Ini kerana dengan pendapatan lumayan yang diterimanya, bekas pemain Internacional itu dapat memastikan keluarganya dapat hidup selesa di Brazil.
“Setiap pemain bola sepak atau setiap orang yang bekerja, ingin mendapatkan wang untuk menolong keluarga mereka. Saya berasal dari latar belakang sosial di Brazil yang sangat miskin. Kami tidak mempunyai apa-apa.
“Ini adalah hasil kerja saya dan ketika saya memperolehnya, itu kerana saya mendapatkannya. Dengan cara yang sama saya datang ke sini, saya akan dapat kembali ke Eropah. Apa sahaja keputusan yang saya buat, ada orang pasti akan bercakap baik atau buruk tentangnya.
“Semua pemain asing yang datang ke sini berada pada tahap yang sangat tinggi. China mempunyai kekuatan kewangan yang luar biasa dan kadang-kadang membuat tawaran yang sukar ditolak oleh pemain,” katanya dalam satu temu bual bersama The Guardian pada 2017.
Sepanjang bersama The Red Eagles, Oscar menerima gaji tahunan sebanyak €24 juta (RM122 juta). Dan meskipun China memperkenalkan had gaji sebanyak €3 juta (RM15 juta) pada Januari 2020, beliau terkecuali daripada penguatkuasaan peraturan berkenaan.
Ini kerana Oscar pada ketika itu memeterai kontrak baru selama lima tahun pada Disember 2019. Disebabkan kontraknya dimeterai sebulan sebelumnya, gaji Oscar tidak berubah.
Pemain perancang Brazil itu sudah merekodkan 162 penampilan dan 52 gol bersama Shanghai Port. Dalam tempoh tujuh tahunnya di China, Oscar membantu The Red Eagles bergelar juara Chinese Super League (CSL) dua kali dan Chinese FA Cup sekali.
Kontrak Oscar bakal berakhir pada penghujung tahun ini. Dengan tempohnya di China semakin menghampiri ke penghujung, pemain berusia 32 tahun itu kini dikaitkan dengan perpindahan ke Major League Soccer (MLS).
Menurut wartawan sukan Amerika Syarikat, Tom Bogert, khidmat Oscar kini ditawarkan kepada semua kelab MLS.