Pahang Rangers Perkenal Jurulatih Baharu, Eloy Alonso
UltraSukan
Pahang Rangers FC

Pahang Rangers FC secara rasmi mengumumkan pelantikan pengendali dari Sepanyol, Eloy Alonso Fraile sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi cabaran musim akan datang.

Jurulatih berusia 45 tahun itu hadir dengan reputasi besar di pentas antarabangsa selepas menganggotai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Thailand sejak tahun 2022.

Sepanjang bersama Thailand, Eloy Alonso memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu melakar pencapaian memberangsangkan di peringkat ASEAN dan Asia, termasuk kemaraan ke pentas Piala Dunia Futsal.

Pengalaman luasnya bukan sahaja di bangku kejurulatihan, malah beliau turut pernah beraksi sebagai penjaga gol di Liga Futsal Sepanyol, sekali gus memberikan dimensi tambahan dari sudut pemahaman taktikal dan pembangunan pemain.

Dengan mentaliti elit serta kepakaran teknikal yang dimiliki, pihak kelab yakin pelantikan Eloy Alonso mampu membawa revolusi baharu buat Pahang Rangers dalam usaha membentuk identiti pasukan yang lebih ampuh.

Kehadiran beliau dijangka menjadi suntikan besar buat skuad Hitam Putih dalam mengharungi saingan musim ini.