Pahang Rangers terus bergiat aktif dalam urusan perpindahan pemain dalam misi mengekalkan dominasi dalam arena futsal di Malaysia.
Menurut hantaran di Facebook dan Instagram rasmi Pahang Rangers, empat pemain diumumkan sebagai pemain baharu mereka bagi menghadapi musim hadapan iaitu Amirul Khairuddin, Sirhan Aiman, Tuah Eizlan dan Iqhmal Najmie.
Amirul Khairuddin merupakan bekas tonggak KL City selama tiga musim dan bakal menyarung jersi Pahang Rangers untuk mengharungi musim 2024.
Pahang Rangers turut membawa pemain kelahiran Pahang, Sirhan Aiman bagi memperkuat posisi ala pasukan setelah pemain berusia 25 tahun itu berkelana ke pelbagai pasukan seperti Terengganu dan Pulau Pinang.
Tuah Eizlan pula direkrut dari pasukan Pulau Pinang setelah cemerlang membantu pasukan tersebut musim lalu dan sudah semestinya kehadiran pivot berusia 22 tahun itu bakal melonjakkan pasukan ke tahap yang lebih baik.
Juara MPFL 2023 itu turut menandatangani khidmat tonggak skuad kebangsaan, Iqhmal Najmie dari Selangor TOT yang terkenal dengan kebolehan melakukan rembatan kaki kiri padu untuk membantu jentera serangan.
Pahang Rangers merupakan antara pasukan yang perlu diberi perhatian bagi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim hadapan yang bakal membuka tirai pada awal tahun 2024.