Advertisement
Pakar Dari Jepun Kini Jurulatih Skuad Wanita Indonesia
UltraSukan
UltraSukan
PSSI

Indonesia mengambil langkah ke hadapan bagi meningkatkan kualiti bola sepak wanita mereka.

Ini selepas Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan pelantikan jurulatih baharu dari Jepun, Satoru Mochizuki bagi mengendalikan skuad bola sepak wanita negara itu.

Pengumuman ini dibuat menerusi ciapan rasmi di akaun PSSI dan berharap pelantikan ini dapat membawa skuad bola sepak wanita lebih maju setanding pasukan lelaki yang berjaya meloloskan diri ke peringkat kalah mati Piala Asia yang lalu.

“Pelantikan ini supaya bola sepak wanita kita juga akan bangkit dan membuktikan kita di PSSI tidak hanya fokus kepada lelaki,” tulis PSSI di laman X.

Menurut Ketua Umum PSSI, Erick Thohir, pemilihan Satoru ini dilihat berdasarkan prestasi cemerlang beliau dan Erick percaya budaya bola sepak Jepun boleh diaplikasikan kepada skuad Garuda khususnya pasukan wanita.

“Jurulatih Satoru yang dipilih untuk menguruskan pasukan kebangsaan wanita mempunyai rekod prestasi yang baik dan layak memajukan bola sepak wanita di negara ini,” kata Erick Thohir di laman web PSSI.

“Saya memilih Jepun kerana tradisi bola sepak wanita Jepun sangat kuat. Mereka pernah menjadi juara dunia suatu ketika dahulu dan telah melayakkan diri ke Piala Dunia Wanita sebanyak sembilan kali sejak 1991,” katanya lagi.

Satoru yang pernah membimbing skuad bawah 17 tahun Jepun dan Urawa Red Diamonds Jugend bakal mengemudi skuad bola bola sepak wanita Indonesia dengan misi memperbaharui rekod pencapaian Garuda di pentas kejohanan AFF dan AFC.

Pencapaian terbaik skuad bola sepak Indonesia ialah meraih tempat keempat pada kejohanan bola sepak wanita AFF 2004 dan tempat keempat di Piala Asia Wanita 1986.