Palestin Lengkapkan Senarai Pasukan Di Pestabola Merdeka
MakanBola
CNN

Pasukan di tangga ke-93 dunia, Palestin melengkapkan senarai pasukan yang bakal menyertai Pestabola Merdeka yang bakal diadakan Oktober ini.

Menerusi satu kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed, senarai pasukan yang menyertai kejohanan ini berada pada kedusukan yang lebih baik berbanding Harimau Malaya.

Ini juga bakal menjadi medan ujian sebenar buat anak didik Kim Pan-gon sebelum beraksi di Piala Asia di Qatar, Januari depan.

“Perkara ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM baru-baru ini. Jemputan juga sudah dihantar dan semua pasukan bersetuju.”

“Kita menjemput pasukan dari Timur Tengah kerana mereka memiliki kelebihan daripada segi fizikal dan kemampuan sebagai lawan yang bagus untuk pasukan negara. Ia akan menjadi kejohanan yang penting untuk Harimau Malaya menilai kemampuan sebelum Piala Asia berlangsung,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Beliau juga berharap usaha ini dapat menarik ramai pihak terutamanya pasukan yang berada pada ranking yang lebih baik untuk menentang Harimau Malaya.

Berdasarkan ranking semasa, Palestin berada di kedudukan ke-93 dunia, Lubnan ke-100 dan India ke-106 dunia akan beraksi dalam penganjuran semula Pestabola Merdeka yang kali terakhir diadakan pada 2013.