Semua maklum Harimau Malaya mengamalkan corak permainan pantas di bawah bimbingan Kim Pan-gon. Bagaimanapun, itu menuntut aspek kecergasan yang tinggi – satu aspek yang kurang memuaskan Pan-gon selepas tamat perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan semalam.
Sepanjang perlawanan, beberapa pemain dilaporkan mengalami kekejangan otot. Dan ada juga pemain yang menunjukkan tahap kecergasan tidak memuaskan bila diturunkan sama ada dalam kesebelasan utama mahupun sebagai pemain gantian.
Hal ini cuba dimanfaatkan Turkmenistan yang turun dengan persiapan rapi selepas dimalukan 3-1 dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia tahun lepas. Justeru, bagi Pan-gon, di sebalik kemenangan 1-0 Malaysia semalam, ia juga amaran kepada Harimau Malaya agar berusaha meningkatkan kecergasan mereka.
“Ia perlawanan sukar bagi kami dan cuba bermain dengan mengamal corak tekanan tinggi terhadap mereka dan ada ketika kita membuat kesilapan tapi pantas memperbetulkan keadaan malah kerap melakukan gerakan berbahaya ke atas benteng lawan.
“Banyak peluang kita ada untuk jaringkan gol, sekurang-kurang tiga atau empat gol tapi kecekapan penjaga gol (Rasul Charyyev) menafikan beberapa peluang yang sepatutnya menerjah jaring dan itu yang menghalang kita menang dengan lebih selesa.
“Persoalannya, mampukah kita mengekalkan corak permainan yang tersusun seperti yang dipamerkan pada perlawanan itu tadi, sebaliknya saya mahukan konsistensi permainan dan pemain perlu kekalkan kekuatan mental dan disiplin supaya kurangkan kesilapan.
“Ada pemain yang mengalami kekejangan dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana saya mahukan corak permainan pantas dan sentiasa bola bergerak untuk kelancaran permainan dan apa yang berlaku seperti kekejangan dan tahap kecergasan tidak memuaskan tidak boleh ada di kalangan pemain,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
Selain isu kecergasan, Pan-gon turut melihat masih ada ruang penambahbaikan dari segi penyudah dan hantaran bola. Ini kerana dua aspek ini merupakan penentu sama ada Harimau Malaya meraih kemenangan atau tidak.
Dengan lawan yang lebih mantap bakal menanti mereka di Piala Asia 2023, Pan-gon mahu dua aspek ini dimantapkan atau berdepan risiko dilabel sasaran mudah oleh pihak lawan.
“Harus perbaiki dari aspek umpanan bola kerana kami inginkan lebih baik daripada apa yang pemain lakukan ketika beraksi malah ia perlu segera dimantapkan lagi tatkala kita akan menentang pasukan yang lebih baik pada aksi pusingan akhir Piala Asia nanti,” tambahnya.