Blog
Addim Alias
Advertisements

Saya masih ingat dengan jelas. Waktu itu pasukan kami sudah bermain dua perlawanan dan mengumpul 4 mata hasil daripada satu kemenangan dan satu seri. Pasukan kami menduduki tangga ke-2 dalam kumpulan B. Minggu depannya kami akan menghadapi lagi dua perlawanan.

Minggu seterusnya juga begitu hingga kami selesai melawan tujuh lagi pasukan lain yang turut berada dalam kumpulan B. Andai pasukan kami menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan B, kami akan layak ke peringkat separuh akhir; menentang pasukan daripada kumpulan A.

skuad muda pekan addim alias 2 Pandemik Covid-19: Petaka Celaka Yang Menculik Mimpi Mereka
Gambar Addim Alias

Memang begitulah format Allianz Junior Football Championship (AJFC) 2020. Kami bermain bagi kawasan Zon Timur yang mula kick off pada 7 Mac 2020, sama seperti Zon Utara. Zon Tengah dan juga Zon Selatan bermula seminggu lebih awal daripada kami iaitu pada 29 Februari 2020 manakala Sabah dan Sarawak mula kick off pada 14 Mac 2020.

Advertisements

AJFC ini merupakan sebuah kejohanan bola sepak yang dinantikan remaja 14-16 tahun kerana pemenangnya (per individu, bukan secara pasukan) akan mendapat peluang berlatih selama kira-kira seminggu dengan FC Bayern Munich. Selain itu, AJFC ini juga seolah-olah peluang kedua kepada remaja yang menggemari bola sepak, remaja 14-16 tahun yang tidak terpilih menyertai Sekolah Sukan Negeri (SSN), Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah program NFDP dan sudah tentunya Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Pelajar-pemain daripada tiga tempat tersebut tidak dibenarkan menyertai AJFC ini kerana ingin membeli peluang kepada bakat-
bakat lain bersinar seperti mereka, yang sudah pastinya akan menambah pool pemain remaja negara kita.

Gambar Addim Alias

Saya juga baru berjinak-jinak melatih pasukan bola sepak remaja, memanfaatkan Lesen D dalam kejurulatihan bola sepak yang saya perolehi pada tahun 2018, setelah kurang lebih setahun lesen tersebut tidak saya manfaatkan. Sedikit sukar sebenarnya untuk saya melatih kerana di daerah Pekan, Pahang ini sangat sedikit akademi bola sepak akar umbi yang aktif.

Saya juga tidak terlalu kenal dengan mereka yang terlibat secara aktif dengan bola sepak akar umbi di daerah saya ini. Saya bernasib baik kerana pada suatu pagi saya melihat sekumpulan remaja bermain bola sepak di sebuah padang bersama kehadiran seorang jurulatih yang melatih mereka di situ.

Advertisements

Tidak buang masa, mereka saya hampiri. Saya memperkenalkan diri dan menyatakan minat saya untuk menyertai mereka. Saya nyatakan kepada jurulatih tersebut bahawa saya memiliki lesen kejurulatihan dan kalau diizinkan beliau; saya ingin turut melatih kumpulan remaja berkenaan. Permintaan saya diterima beliau dengan tangan terbuka. Saya kemudian diperkenalkan kepada seorang individu. Beliaulah rupanya yang berinisiatif mengumpulkan kumpulan remaja tersebut termasuklah anak lelaki beliau untuk tujuan latihan bola sepak secara rutin. Bermula dari situ, saya mula melatih kumpulan remaja dalam bilangan 12 orang itu
pada setiap pagi Sabtu.

Disamping melatih mereka, saya juga mengasah ilmu kejurulatihan saya bersama 2 orang lagi jurulatih yang lebih senior di situ. Mereka berdua sudah memiliki Lesen C kejurulatihan bola sepak dan punya banyak pengalaman berbanding saya yang baru setahun jagung ini. Beberapa bulan kemudian, 2 orang jurulatih ini dan juga Bos saya (individu yang membayar padang latihan kami dan yang mengumpulkan kumpulan remaja 12-14 tahun ini serta yang membayar upah saya) mengatakan bahawa mereka ingin mengumpulkan remaja 14-16 tahun di sekitar bandar Pekan untuk menyertai AJFC. Bos saya siap sedia untuk memberikan tajaan daripada segala segi.

Persediaan AJFC 2020

Kami pun melakukan pemilihan pemain selama dua hari berturut-turut. Ramai remaja 14-16 tahun daripada beberapa buah sekolah menengah di daerah Pekan datang mencuba nasib. Ada juga antara mereka yang berlatih di akademi bola sepak di daerah Kuantan mencuba nasib, kerana mereka ini sebenarnya tinggal di Pekan. Seperti saya katakan tadi; akademi bola sepak akar umbi di Pekan tidak segah seperti di Kuantan. Kami turut mencari pemain daripada beberapa buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ini kerana ada beberapa pelajar daripada SBP ini pernah terlibat dengan bola sepak MSSD ketika mereka berumur 15 tahun. Secara teknikal, mereka pernah mewakili daerah Pekan dalam bola sepak peringkat sekolah menengah.

Advertisements

Akhirnya setelah proses pemilihan, kami berjaya mengumpul 18 orang pemain untuk didaftarkan bermain AJFC 2020 ini. Latihan dilakukan setiap petang Rabu dan Khamis, kadangkala Sabtu juga kami berlatih. Pemain yang kami latih benar-benar komited dan sungguh bersemangat untuk membuktikan sesuatu. Apatah lagi, mereka terinspirasi daripada salah seorang pemenang AJFC 2019 iaitu saudara Adam Alif yang berasal dari Pekan. Pasukan dari Zon Timur telah berjaya menjuarai AJFC 2019 dengan mengalahkan pasukan dari Zon Utara. Adam Alif adalah salah satu daripada dua pemenang yang dibawa ke Jerman untuk berlatih bersama FC Bayern Munich.

Gambar Addim Alias

Jujur; saya melihat beberapa pemain yang sangat berbakat. Ada beberapa pemain yang masih berumur 14 tahun tetapi beraksi dengan matang, cuma perlu digilap lagi daripada segi kefahaman taktikal dan paling penting – daripada aspek disiplin. Maklum saja, kadangkala remaja-remaja ini agak “nakal” di sekolah. Saya juga telah berjanji dengan beberapa orang daripada mereka yang berumur bawah 15 tahun untuk membawa mereka menyertai pemilihan Malaysia Dream Project (MDP), sebuah program bola sepak anjuran Yakult Malaysia dengan kerjasama kelab bola sepak J League iaitu Cerezo Osaka yang dijadual berlangsung pada 15 Mei 2020 pemain bola sepak bawah 15 tahun seluruh Malaysia dengan kualiti terbaik akan dipilih oleh Yakult-Cerezo Osaka untuk dibawa berlatih bersama kelab J League itu bagi menimba pengalaman. Jika ada pemain yang benar-benar memikat, mereka mungkin ditawarkan kontrak bermain dengan Cerezo Osaka.

Badai Covid-19 Yang Terlalu Kencang

Sedang pasukan kami giat berlatih untuk menghadapi perlawanan minggu ke-2, bertiup kencang khabar angin bahawa AJFC 2020 akan ditangguhkan kerana kes Covid-19 di Malaysia semakin meningkat. Segala aktiviti yang melibatkan perkumpulan orang ramai bakal disekat termasuklah aktiviti-aktiviti sukan. Pemain-pemain pasukan saya telah mula geger di group Whatsapp. Mereka bertanya-tanya kepada kami, para jurulatih. Akhirnya yang ditakuti terjadi. Surat rasmi daripada Allianz sendiri mengesahkan bahawa AJFC 2020 ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Bermulalah masa hiatus latihan pasukan kami.

Advertisements

Beberapa minggu berlalu. Saya dan para pemain masih lagi aktif berkomunikasi dalam group Whatsapp. Saya mengarahkan mereka berlatih sendiri di rumah – melakukan ball mastery atau latihan fitness dan fizikal supaya terus berada dalam keadaan terbaik andainya AJFC disambung semula kelak. Tetapi rupa-rupanya tuhan berkata lain. Covid-19 terus mengganas. PKP terus berevolusi menyesuaikan dengan virus itu yang bermutasi. Akhirnya Allianz membatalkan terus AJFC 2020.

Ramai pemain yang menghubungi saya secara personal, bertanyakan nasib mereka. Apa yang boleh saya katakan hanyalah terus percaya dengan mimpi mereka. Jika mereka benar-benar percaya; suatu masa nanti pasti ada jalan buat mereka. AJFC bukanlah satu-satunya jalan untuk mereka berjaya dalam bola sepak.

Seiring masa berjalan dalam kita terus menghadapi pandemik yang tidak tahu mati ini, seorang demi seorang pemain saya meninggalkan group Whatsapp. Saya berasa agak ralat tetapi mahu bagaimana lagi? Pandemik ini terlalu kejam kepada kita semua. Sekarang group itu cuma tinggal beberapa orang saja termasuk saya dan jurulatih-jurulatih lain. Saya mengerti, cerita ini hanya sekelumit dan kecil. Di luar sana, ramai lagi kanak-kanak atau remaja yang mungkin mengalami nasib serupa dengan pemain-pemain pasukan saya yang pada mulanya sangat bersemangat untuk bermain bola sepak, mengejar mimpi mereka.

Penutup
Mengapa saya gelarkan pandemik Covid-19 ini sebagai ‘penculik mimpi’? Kerana saya percaya; pemain-pemain pasukan saya ini suatu hari nanti pasti menemukan kembali mimpi bola sepak mereka andai mereka tidak terus berhenti dan tetap berlari. Sama-sama kita doakan agar petaka celaka ini cepat berakhir agar akademi akar umbi berjalan kembali, agar program-program bola sepak yang berkaitan dengan mengetengahkan bakat kanak-kanak dan remaja di negara kita ini dapat dimulakan semula, selaras memantapkan ekosistem bola sepak di Malaysia tercinta.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram