Bekas Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dilaporkan berada dalam radar untuk memimpin Harimau Malaya.
Perkara ini dikongsikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu sesi sidang media baru-baru ini.
Katanya, pihak FAM berusaha keras untuk membawa masuk pengganti Kim Pan-gon namun memberi ruang buat pemangku Ketua Jurulatih, Pau Marti melaksanakan tugasanya.
Hamidin juga berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari pengganti yang lebih baik kepada penyokong Harimau Malaya.
“Saya akan mencari pengganti yang lebih baik berbanding Kim Pan-gon,” kata Hamidin.
Ketika ditanya mengenai salah seorang calon yang berpotensi untuk menggalas tugas tersebut, nama Park Hang-seo mula dipetik.
“Park Hang-seo salah satu daripada calon jurulatih,” jelas Hamidin.
“Saya telah buat kerja saya dan mendapatkan pandangan daripada pakar daripada luar negara. Seperti yang saya maklumkan pada awalnya, kita kena ambil jurulatih tentang kualiti pemain yang kita ada.
Kriteria jurulatih yang ditetapkan adalah mestilah memahami kualiti pemain yang dimiliki oleh Malaysia dan lawan yang bakal dihadapi.
“Beliau juga mestilah memahami musuh kita di Asia Tenggara dan juga Asia. Individu ini mestilah memahami pemain yang kita ada dan kejohanan yang kita bakal tempuhi.
“Ada ramai calon dan saya akan senaraipedekkan nama tersebut,”katanya.