Park Hang-seo Sah Kemudi Kelab Thailand
MakanBola
Kanchanaburi Power FC

Jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo sah mengemudi kelab Thailand, Kanchanaburi Power FC.

Pelantikan bekas jurulatih Vietnam itu disahkan pengurusan Kanchanaburi menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

Kanchanaburi melihat pelantikan Hang-seo bukan saja untuk membawa pasukan itu kembali ke saingan Thai League 1 musim 2027/28. Malah, mereka melihat pelantikan jurulatih berusia 68 tahun itu sebagai sebahagian daripada projek jangka panjang kelab berkenaan.

“Kanchanaburi Power FC mengumumkan pelantikan Park Hang-seo, bekas jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam dan Korea Selatan, sebagai ketua jurulatih baru pasukan The Iron Horse, bersama staf rasmi,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pelantikan Hang-seo menamatkan spekulasi tentang pasukan mana yang bakal menjadi pilihan beliau selepas meninggalkan Vietnam pada 2023.

Sebelum memilih menyertai Kanchanaburi Power, beliau dikaitkan dengan beberapa pasukan baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Antaranya India, Thailand, Kemboja, Ulsan HD dan Korea Selatan.

Hang-seo bakal dibantu dua staf kejurulatihan Korea Selatan iaitu Lee Jung-soo dan Roh Yeong-su. Jung-soo akan bertindak sebagai pembantu jurulatih dengan Yeong-su sebagai jurulatih kecergasan.

Jung-soo sebelum ini menggalas peranan sebagai pembantu rakan senegara, Kim Sang-sik dalam barisan kejurulatihan Vietnam dari 2025 hingga 2026. Beliau kemudiannya memikul tugas sebagai jurulatih interim Kanchanaburi untuk baki tiga perlawanan musim ini.

Phanupong Wongsa, Phannarai Phansiri, Naratip Phanprom masing-masing bakal memikul peranan sebagai penolong jurulatih, penganalisis video dan jurulatih penjaga gol.

Kanchanaburi menamatkan musim di tangga terakhir Thai League 1 dengan 23 mata. Ini menyebabkan kelab tersingkir ke Thai League 2 musim depan.

Antara pemain terkenal beraksi dalam pasukan itu musim ini ialah kapten dan bekas bintang Tottenham Hotspur, Andros Townsend, Alain Oyarzun, Aboubakar Kamara dan pemain Harimau Malaya, Sergio Aguero.