Pasukan bola sepak wanita Guam berjaya mengalahkan skuad bola sepak wanita Arab Saudi dalam Kejohanan Wanita Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) 2024.
Kejayaan itu dilakar dalam aksi terakhir Kumpulan A semalam. Aksi terakhir Kumpulan A dilihat peluang bagi kedua-dua pasukan meraih kemenangan untuk menutup kempen kejohanan.
Ini kerana kedua-dua pasukan masing-masing tewas kepada Jordan dan Lubnan dalam dua aksi awal Kumpulan A.
Dari segi ranking, kelebihan memihak kepada Guam kerana menduduki ranking ke-93 dunia. Bagaimanapun, Arab Saudi yang menduduki ranking ke-175 dunia memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri.
Babak pertama menyaksikan Guam berusaha mencari gol awal. Hasilnya, Mariah Anaya meletakkan pasukan dari rantau Pasifik itu di hadapan pada minit ke-21.
Tersentak, Arab Saudi cuba bangkit untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, Anaya meletakkan Guam makin selesa di hadapan menerusi gol kedua pada minit ke-41. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Guam terus memberi tekanan kepada tuan rumah untuk mendapatkan gol tambahan.
Bagaimanapun, Arab Saudi memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Guam mengutip mata sulung dalam Kumpulan A.
Jordan layak sebagai juara Kumpulan A selepas menewaskan Lubnan 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A.