Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia merasakan pasukannya layak untuk menjulang Malaysia Futsal Cup setelah menewaskan Selangor pada Ahad.
Dalam aksi tersebut, Bruno Taffy berjaya meletakkan JDT di hadapan seawal minit keempat permainan sebelum Syahir Iqbal menyamakan kedudukan untuk keputusan terikat 1-1 di babak pertama.
Dua jaringan daripada Firdaus Ambiah dan Azwann Ismail di separuh masa kedua memastikan kejuaraan milik JDT meski Selangor bangkit merapatkan skor hasil gol Aidil Sharin di penghujung aksi.
Menurut Miguel Garcia, kemenangan ini menghadirkan rasa gembira buat dirinya setelah melihat aksi terbaik dipamerkan anak-anak buahnya ketika berdepan lawan berkualiti seperti Selangor.
”Bagi saya, satu perlawanan yang sengit hari ini berdepan satu lawan yang sangat bagus (Selangor) dan saya sangat gembira dengan pasukan saya,” kata beliau ketika sidang media.
Tambah beliau, kedua-dua pasukan menyajikan permainan yang menghiburkan untuk ditonton oleh para peminat futsal tempatan namun melihat skuadnya turun dengan aksi lebih baik.
”Hari ini kami bermain dengan sangat baik, saya pasti semua orang yang hadir gembira menyaksikan perlawanan ini. JDT dan Selangor mempamerkan kebangkitan dalam arena futsal Malaysia.”
”Tetapi dalam aksi final ini, hanya satu pasukan yang muncul juara dan JDT hadir ke sini untuk merealisasikan impian bagi menunjukkan mereka semakin bertambah baik.”
Miguel sempat meluahkan pendapatnya yang melihat JDT layak untuk menjulang kejuaraan Malaysia Futsal Cup musim ini setelah menjadi pasukan terbaik di negara ketika ini.
“Pada pendapat saya, pasukan terbaik yang memenangi Malaysia Futsal Cup,” ujarnya ringkas.
Ini merupakan kejuaraan pertama buat JDT setelah kecewa tewas di pentas akhir Malaysia Futsal Cup 2023 di tangan Pahang Rangers menerusi penentuan sepakan penalti.