Pasukan Tunku Panglima Johor Rangkul Kemenangan Sulung Asian Le Mans
UltraSukan
The Royal Johor

Tunku Panglima Johor, Yang Amat Mulia (YAM) Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim mencipta sejarah tersendiri dengan meraih kemenangan pertama dalam perlumbaan Asian Le Mans.

Kejayaan itu diraih apabila pasukan Triple Eight Mercedes meraih kemenangan dalam pusingan keempat perlumbaan Asian Le Mans di Litar Yas Marina, Abu Dhabi semalam.

Berita kejayaan ini dikongsikan oleh Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan hari ini.

Tunku Abdul Rahman dan dua rakan sepasukannya, Luca Stolz dan Jordan Love mempamerkan pemanduan cekap sepanjang perlumbaan.

Dan itu sudah cukup buat Triple Eight Mercedes meraih kemenangan dalam kategori GT. Ini satu kejayaan bermakna memandangkan pasukan itu merupakan pendatang baru dalam kategori berkenaan.

“Bersama rakan sepasukan Luca Stolz dan Jordan Love, Tunku Abdul Rahman mempamerkan pemanduan yang cekap serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepanjang 4 jam perlumbaan berlangsung bagi merangkul kemenangan manis itu bagi Triple Eight yang merupakan peserta baharu dalam siri ini,” ujarnya.

Perjuangan Triple Eight Mercedes belum berakhir kerana mereka bakal mengharungi satu lagi perlumbaan pada hari ini.