Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memantau rapat kemajuan tiga tonggak Malaysia yang berkelana di luar negara.
Skuad negara baru sahaja selesai mengharungi aksi persahabatan FIFA Tier 1 menentang New Zealand yang menyaksikan Malaysia tewas dengan keputusan 4-0.
Pasukan kebangsaan kini menghuni tangga ke-133 dunia berdasarkan kemas kini ranking FIFA bulan Oktober.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu bagaimanapun telah memberi peluang kepada beberapa muka baharu seperti Haiqal Danish dan juga Haziq Aiman yang beraksi buat pasukan B-19 Malaysia.
Beliau juga dilihat terus memantau kemajuan pemain negara yang berkelana di luar negara apabila terdapat tiga pemain yang berada dalam senarai awal dan senarai bersedia.
Kapten Harimau Malaya, Dion Cools dipanggil untuk membawa cabaran negara namun tidak dapat membantu skuad kebangsaan atas faktor keluarga.
Pemain berusia 28 tahun ini merupakan aset utama kelab Thailand, Buriram United dan beraksi selaku pertahanan kanan pasukan.
Beliau telah beraksi sebanyak 9 perlawanan dalam kesebelasan utama (788 minit), menjaringkan satu gol dan memiliki 7.16 mata penilaian oleh laman Sofascore, antara tertinggi dalam kalangan tonggak Buriram.
Perpindahan Endrick Dos Santos secara pinjaman ke Vietnam telah membantunya untuk mendapatkan tempat bagi membawa cabaran negara ke tahap yang lebih baik.
Tonggak kelahiran Brazil itu sudah membawa cabaran Ho Chi Minh City selain sudah diturunkan sebanyak 5 kali musim ini.
Seorang lagi tonggak muda negara, Fergus Tierney yang beraksi bersama kelab Thailand, Chonburi FC berada dalam senarai bersedia.
Pemain berusia 22 tahun itu turun 9 kali dalam saingan Thai League 2 namun hanya menjaringkan satu gol setakat ini.
Ujian berikutnya buat Harimau Malaya adalah menentang Laos dan pasukan ke-125 dunia, India bagi aksi persahabatan November ini.