Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyifatkan aksi persahabatan menentang New Zealand sebagai tugasan mencabar buat pasukan itu.
Ini kali pertama skuad negara berentap dengan pasukan yang menduduki ranking ke-95 dunia itu sejak 23 Februari 2006.
Menariknya, aksi persahabatan edisi 2024 diadakan di lokasi sama kedua-dua pasukan berentap iaitu Stadium North Harbour, Auckland. Aksi pada Februari 2006 menyaksikan All Whites menewaskan Harimau Malaya 2-1.
Campbell Banks dan Andrew Barron mencipta nama sebagai penjaring New Zealand. Manakala gol saguhati Malaysia disumbangkan oleh Safee Sali.
Kini, New Zealand tampil berbeza kerana pasukan ini bukan saja pernah layak ke Piala Dunia 2010. Malah, pasukan itu turut diperkuat ramai pemain yang berpangkalan di Eropah seperti Chris Wood (Nottingham Forest), Marko Stamenic (Olympiakos) dan Matthew Garbett (NAC Breda).
Meskipun sedar dengan cabaran yang menanti Harimau Malaya pada 14 Oktober ini, Pau Marti melihat perkara ini harus dibiasakan. Ini kerana dengan berdepan lawan berkualiti seperti New Zealand, ini akan membantu Harimau Malaya untuk lebih maju ke hadapan.
“Saya tak fikir tentang negara bila sentuh aksi persahabatan. Semua aksi persahabatan istimewa, aksi ini (menentang New Zealand) juga istimewa.
“Hampir 20 tahun Malaysia (kali terakhir) beraksi di New Zealand, pasukan yang sukar dan tempat yang sukar untuk bermain.
“Kita kena biasakan diri untuk lawan sebegini untuk tingkatkan keyakinan dan mendapatkan keputusan yang bagus,” katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Oktober lalu.
Skuad negara berangkat ke Auckland tanpa kelibat kapten, Dion Cools. Cools terpaksa menarik diri kerana perlu menyelesaikan urusan keluarga.
Harimau Malaya telah tiba di New Zealand selepas mengharungi penerbangan selama 10 jam. Pasukan itu juga sudah menjalani latihan pertama di negara itu bermula 7 Oktober.
Sebagai persiapan menghadapi All Whites, satu aksi persahabatan menentang sebuah kelab utama New Zealand bakal diharungi Harimau Malaya pada 11 Oktober ini.