Jurulatih interim Malaysia, Pau Marti Vicente melabel pasukan kebangsaan Thailand adalah pasukan yang terkuat di kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 ini.
Dalam masa yang sama, Pau Marti melihat para pemain negara kini bermotivasi tinggi untuk memberikan yang terbaik dalam aksi bertemu Thailand.
“Ya kami sangat teruja untuk beraksi menentang Thailand. Saya rasa kami akan berdepan pasukan terkuat di kejohanan ini dan terkuat di Asia Tenggara.
“Jadi kami bermotivasi tinggi untuk pamerkan permainan yang baik,” jelas Pau Marti dalam sidang media pra perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Biarpun kehilangan beberapa pemain yang dipanggil kelab dalam saingan domestik, Pau Marti yakin dengan pemain-pemain lain yang mampu mengisi kekosongan.
“Agak mencabar apabila kehilangan beberapa pemain tapi kita ada skuad besar iaitu 26 pemain. Beberapa pemain masih muda, jadi untuk bermain dalam perlawanan ini akan menjadikan mereka seorang pemain bola sepak,” tegas Pau Marti lagi.
Malaysia dan Thailand dijadualkan bertemu di Stadium Rajamangala pada 14 Disember bagi saingan Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric Asean.
Thailand kini menghuni tangga kedua dengan mengumpul 3 mata selepas satu perlawanan manakala Malaysia yang sudah melalui dua perlawanan berada di tangga teratas dengan mengumpul 4 mata.