Advertisement
Paulo Josue Optimis Jayakan Misi Tujuh Gol Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pemain naturalisasi Malaysia, Paulo Josue mengakui misi mendapatkan tujuh gol bukan mudah buat skuad negara menjelang aksi menentang Chinese Taipei esok.

Selepas lima perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026, skuad negara mengumpul tujuh mata di tangga ketiga kumpulan.

Harimau Malaya masih berpeluang layak ke pusingan ketiga kelayakan dengan syarat mereka bukan saja perlu mendapatkan tujuh gol ke atas Chinese Taipei.

Malah, mereka juga memerlukan pendahulu Kumpulan D, Oman untuk menewaskan Kyrgyzstan dalam aksi terakhir kumpulan.

Kapten KL City FC itu mengakui ini bukan satu tugas mudah memandangkan skuad negara berjuang tanpa ramai tonggak di bahagian serangan seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Meskipun harapan tampak tipis buat Harimau Malaya, Paulo melihat itu sudah cukup untuk membakar semangat skuad negara untuk berjuang sehingga tamat 90 minit perlawanan.

“Tapi dalam pasukan, kita akan mencuba yang terbaik dan cuba memadamkan perbezaan gol. Sudah tentu ini bukan mudah mendapatkan keputusan 7-0 atau 6-0 atau 5-0. Sudah tentu kita perlu bekerja keras untuk mendapatkannya.

“Kita perlu cari satu gol terlebih dahulu. Selepas itu, kita akan cuba cari gol seterusnya. Tapi sudah tentu, ini bukan satu tugas mudah dan tak ramai pemain dalam mana-mana pasukan kebangsaan untuk menjaringkan gol sebegitu rupa.

“Tetapi kita ada peluang, kita akan cuba yang terbaik dan kita akan padamkan perbezaan gol. Kita berharap bila kita keluar, kita mendapatkan keputusan 3-0, 5-0 atau 6-0, keputusan sebegitu.

“Ini mungkin nampak mudah di sini tetapi ini bukan tugas mudah. Kita masih perlu menunggu Oman mendapatkan kemenangan dan perlukan mereka memadam perbezaan tujuh (dan) lapan gol.

“Kita perlu lalui satu persatu, minit ke minit. Kalau kita dapat jaringkan gol awal, itu tugas pertama. Kemudian untuk dapatkan gol kedua, itu tugas berbeza. Kemudian kita tidak boleh benarkan gawang kita dibolosi.

“Ia bukan satu tugas mudah dan kita akan mencuba yang terbaik. Kita akan terus menyimpan harapan sehingga tamat perlawanan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Misi tujuh gol skuad negara turut menerima tonik tambahan. Ini selepas kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero dipanggil Pan-gon untuk menambah bisa di bahagian serangan.

Harimau Malaya akan turun menentang The Blue Wings di Stadium Nasional Bukit Jalil esok pada jam 9.00 malam.