Kapten KL City FC, Paulo Josue mengakui sedih apabila mendapat berita Kim Pan-gon meletakkan jawatan sebagai jurulatih Harimau Malaya.
Jurulatih Korea Selatan itu mencipta kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu sidang media khas yang diadakan pada 16 Julai lalu.
Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembantu Pan-gon dari Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya.
Josue mengakui merasa sedih dengan berita berkenaan kerana Pan-gon merupakan jurulatih pertama yang memberi peluang kepadanya beraksi untuk skuad kebangsaan.
Beliau juga sedar impak yang dibawa jurulatih berusia 55 tahun itu kepada Harimau Malaya. Ini termasuk pencapaian layak secara merit ke Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun.
Atas sebab itu, Josue menyifatkan pemergian bekas jurulatih Hong Kong itu satu kehilangan besar buat bola sepak Malaysia.
“Rasa amat sedih kerana Coach Kim (Pan-gon) orang pertama memberi peluang kepada saya beraksi untuk skuad kebangsaan. Ia satu tempoh yang baik bersama beliau dalam skuad kebangsaan dan satu peluang hebat bekerjasama dengannya.
“Seorang jurulatih yang bagus dan seorang individu yang baik. Jadi, saya fikir ini (pemergian Pan-gon) satu kehilangan besar buat Malaysia,” katanya dalam satu temu bual bersama Nadi Arena.
Pemain tengah berusia 35 tahun itu merekodkan penampilan antarabangsa pertama untuk Harimau Malaya bila diturunkan menentang Turkmenistan pada Mac 2023.
Sejak itu, Josue telah merekodkan 15 penampilan antarabangsa termasuk tampil dalam tiga aksi kumpulan Piala Asia 2023.