Walaupun berjaya menjaringkan gol menentang Kepulauan Solomon tempoh hari, namun bagi pemain Harimau Malaya, Paulo Josue, beliau percaya bahawa pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mempunyai banyak pilihan untuk diletakkan sebagai penggempur utama.
Josue sentiasa bersedia jika khidmatnya terus digunakan sebagai penyerang utama Harimau Malaya dan dalam masa yang sama, beliau tidak melupakan kebolehan tiga lagi penyerang yang dilihat lebih ‘tulen’ berbanding beliau.
Tiga pemain yang dimaksudkan ialah penyerang Sabah FC, Darren Lok yang cedera, Syafiq Ahmad yang tidak dipanggil untuk kem kebangsaan kali ini dan penyerang Negeri Sembilan FC, Shahrel Fikri yang telah pun menunjukkan prestasi terbaik beliau di peringkat kelab.
“Saya tidak biasa beraksi di posisi tersebut. Saya pernah beraksi di posisi ini ketika dibawah kendalian Bojan Hodak dan ianya tidak begitu menjadi.
“Kita boleh cuba (letakkan beliau sebagai penyerang) tetapi sudah tentu kita mempunyai ramai lagi penyerang. Kita ada Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Shahrel Fikri. Jadi jurulatih mempunyai banyak pilihan. Sesiapa yang diturunkan, perlu bersedia membantu pasukan,” jelas Josue ketika ditemubual Astro Arena.
Untuk perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini, Kim Pan-gon dijangka akan membuat rombakan kecil bagi memberi peluang kepada pemain-pemain lain menunjukkan kemampuan masing-masing.