Menerima panggilan menyertai skuad senior kebangsaan merupakan satu penghormatan buat kapten KL City, Paulo Josue. Atas sebab itu, pemain berusia 34 tahun itu bersedia beradaptasi dengan corak permainan Harimau Malaya yang diterapkan jurulatih Kim Pan-gon.
Bekas pemain tengah Juventude itu mengakui ia sedikit berbeza dengan falsafah permainan City Boys yang diterapkan Bojan Hodak. Tetapi bagi Josue, selagi mana dia dapat menyumbang kepada pasukan dalam dua aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong, maka itu tidak akan menjadi masalah.
“Saya cuba memahami tentang cara permainan yang diterapkan jurulatih Kim Pan-gon, sistemnya, gaya permainannya dan falsafahnya. Kita juga faham terdapat ramai pemain baru di sini tetapi setakat ini, semuanya berjalan lancar dan saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan,” katanya kepada media selepas tamat sesi latihan semalam.
Josue merupakan sebahagian daripada lapan pemain baru yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Selain dia, Endrick dos Santos, duo penjaga gol Sikh Izhan Nazrel dan Damien Lim, Feroz Baharudin, Fayadh Zulkifli dan Nooa Laine turut dipanggil Pan-gon.
Kapten KL City itu turut menyatakan bakal memberi yang terbaik tanpa mengira sama ada diturunkan dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian. Ini kerana pada akhirnya, dia mahu membantu rakan-rakan sepasukannya mengecapi kemenangan dalam dua aksi persahabatan yang dinyatakan.
“Ia bergantung kepada kepercayaan jurulatih. Jika dia memilih saya beraksi dalam kesebelasan utama atau (sebagai pemain gantian dalam) separuh masa kedua, saya hanya mahu mencuba dan memberi yang terbaik.
“Jika ada peluang melakukan percubaan atau mengejar pemain lawan, saya akan lakukan yang termampu untuk membantu pemain-pemain lain,” tambahnya.