Prestasi kurang memberangsangkan Terengganu FC (TFC) sejak kebelakangan ini bukan saja meresahkan para penyokong tetapi juga ahli lembaga pengarah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Ini kerana pasukan menunjukkan prestasi tidak konsisten di atas padang musim ini. Ini membuatkan para penyokong mula membandingkan pencapaian jurulatih ketika ini, Tomislav Steinbruckner dengan jurulatih sebelumnya, Nafuzi Zain.
Ada juga yang menyifatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Ab Rasid Jusoh sebagai punca kemerosotan pasukan dan mahu beliau disingkirkan.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, kedudukan keenam yang diisi TFC ketika ini bukan satu pencapaian yang memuaskan.
Justeru, beliau menggesa skuad Penyu untuk bangkit dan menambahbaik mutu permainan sebelum PBNST campur tangan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita ambil maklum tentang prestasi tidak berapa baik TFC dan kita ambil maklum juga tentang cadangan yang dikemukakan penyokong untuk menaikkan TFC.
“Bagaimanapun cadangan untuk tukar CEO… tak boleh beritahu hari ini terus tukar hari ini. Beliau adalah pegawai kerajaan, tetapi dengan apa yang dah kita laburkan, kita tidak akan berdiam diri,” katanya kepada BERNAMA semalam.
Dengan aksi Piala AFC bakal bermula pada September ini, isu ini perlu diatasi segera. Justeru, Wan Sukairi berharap pengurusan pasukan mengambil input semua pihak agar dapat memantapkan pasukan.
“Itu antara kebimbangan kita dan perkara ini turut dibincangkan dalam mesyuarat ahli Lembaga Pengarah PBSNT baru-baru ini.
“Jadi kita harap TFC dapat lakukan sesuatu dan ambil kira juga pandangan peminat kerana mereka ini penyokong tegar yang faham selok-belok dunia bola sepak,” tambahnya.