PDRM FC menambah kekuatan pasukan itu dengan mengumumkan kehadiran tiga pemain baharu.
Tiga pemain tersebut ialah Imran Samso dan dua pemain import dari Korea Selatan, Um Deuk dan Chang Jae-hyeok.
Perpindahan ketiga-tiga pemain ini diumumkan pada 23 September lalu, sehari selepas tamat tarikh tutup tetingkap perpindahan kedua liga.
Imran bukan asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah beraksi untuk Kelantan FC dari 2021 hingga 2023.
Beraksi sebagai pemain sayap kanan, pemain berusia 26 tahun itu bakal merebut posisi pemain sayap dengan Christopher Keli dan Zuhair Aizat.
Sementara Deuk, 25, dan Jae-hyeok, 23, pula mengisi kuota pemain import kelapan dan kesembilan The Cops untuk kempen musim 2024/25.
Deuk beraksi di bahagian tengah dengan Jae-hyeok pula memperkukuh bahagian pertahanan. Kedua-duanya dibawa masuk untuk memperkukuh cabaran PDRM dalam saingan Piala MFL.
Ini kerana pasukan itu berada pada kedudukan ke-10 Piala MFL dengan lapan mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Trio ini menyertai dua lagi pemain baru PDRM FC, Fakhrullah Yusof dan Hadi Fayyadh Abdul Razak. Seperti Imran, Fakhrullah juga pernah beraksi untuk pasukan The Red Warriors.
Manakala Hadi Fayyadh pula tiba secara pinjaman dari Perak FC. Beliau akan bersama pasukan itu sehingga tamat musim 2024/25.
Hadi Fayyadh sudah membuat penampilan pertama untuk PDRM dalam Liga Super apabila masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Sabah FC pada 21 September lalu.