PDRM Tak Sabar Kejutkan Terengganu

Bruno Suzuki Kedah Liga Super PDRM FC PDRM Tak Sabar Kejutkan Terengganu
PDRM FC
Azim Noor @mohdazim45
4:25pm 10/03/2023

Segar daripada kemenangan 1-0 ke atas Kedah pada minggu lepas, kini PDRM mensasarkan Terengganu sebagai mangsa seterusnya. Walaupun berstatus pasukan bukan pilihan, anak-anak buah Azzmi Ab Aziz percaya mereka boleh mencatatkan satu lagi kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.

Tetapi pada masa sama, Sang Saka Biru tetap menghormati keupayaan pihak lawan. Walaupun menduduki tangga tercorot musim ini, skuad Penyu merupakan naib juara Liga Super musim lepas.

Justeru, Azzmi tahu dengan reputasi mereka menjadi pertaruhan, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner sudah pasti mahu menjaga air muka di hadapan penyokong sendiri dengan melakar kemenangan pertama musim ini.

“Alhamdulillah semua persiapan pasukan berjalan dengan lancar selain mereka berada pada tahap prestasi terbaik dan begitu positif selain tiada sebarang kecederaan dan penggantungan untuk bertandang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC (TFC) selepas menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) minggu lalu.

“Tapi kami tetap hadir sebagai pasukan ‘underdog’, kami hormati TFC antara pasukan terbaik dan terkuat liga walaupun setakat ini skuad itu masih tercari-cari rentak selain belum lagi merakam kemenangan dan jaringan serta menghuni di kedudukan tercorot liga.

“Kami pesan kepada pemain perlu berwaspada dengan ancaman dan kebangkitan skuad itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri selain pastinya mereka bagaikan ‘harimau terluka’.

“Namun kami sudah bersedia untuk berdepan dengan naib juara Liga Super musim lalu itu dan semestinya kami tidak akan sesekali memberikan lawan bermahajarajalela kerana misi kami juga mahu mengutip mata,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dengan motivasi berbeza bagi kedua-dua pasukan, pertembungan Terengganu-PDRM esok pasti menjanjikan perlawanan menghiburkan bagi kedua-dua pasukan.