Seorang peguam sukan mengingatkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menyaman Persatuan Bola Sepak (FAM) boleh memakan diri.
Ini kerana pada hemat peguam, Zhafri Aminurrashid, ini boleh menyebabkan PFA kehilangan status ahli gabungan FAM buat selama-lamanya.
Pandangan beliau berdasarkan Artikel 71 Bidang Kuasa Dalam Statut FAM.
Artikel tersebut menyatakan mana-mana pihak atau individu yang ditakrifkan dalam statut berkenaan tidak boleh membawa isu pertikaian mereka ke mahkamah biasa.
Pengecualian hanya berlaku sekiranya peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau undang-undang mandatori Malaysia secara khusus memperuntukkan atau rekursa ke mahkamah biasa.
“Tertakluk kepada Artikel 72 (1), jika sekiranya ahli atau pasukan, pegawai atau pemain membawa apa-apa jua kes atau pertikaian ke mana-mana mahkamah, maka ahli atau pasukan akan dilucutkan keahlian dan penyertaannya dalam aktiviti bola sepak akan dibatalkan pendaftarannya secara automatik.
“Manakala pegawai dan pemain akan digantung secara kekal dan tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bola sepak di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri, daerah. Ahli atau pasukan, pegawai atau pemain hilang hak untuk merayu melainkan diputuskan sebaliknya,” katanya.
Walau bagaimanapun, Zhafri memaklumkan permohonan injunksi PFA bukan bermakna Kongres FAM tidak boleh diadakan.
Ini kerana mahkamah perlu meneliti terlebih dahulu permohonan yang dikemukakan PFA.
“Jika ada merit, mahkamah akan berikan 21 hari interim injuksi sementara mendengar ‘inter parte’ dan jika dibenarkan injuksi interim, ianya akan terpakai sehingga 27 Januari 2025,” tambahnya.
“Melainkan PFA kekal digantung sementara, kongrees FAM tidak akan terjejas kecuali PFA dapat injuksi kekal daripada mahkamah.”
Selain memfailkan permohonan injunksi, PFA turut memfailkan saman kepada FAM pada 27 Disember lalu.
Saman tersebut dikemukakan bagi mencabar keputusan FAM menggantung keahlian PFA.