Kegagalan pengurusan Kelantan FC melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai telah membawa padah apabila keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelantan bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap keputusan itu adalah tepat supaya pasukan-pasukan bertanding tidak mengambil ringan perihal kebajikan pemain dan pegawai.
“Saya berharap agar tidak ada pihak merasakan hukuman FIB ini kejam, berat sebelah atau sebagainya. Jika kita melihat kepada kronologi dan proses yang diambil oleh FIB dalam membuat keputusan, jelas FIB memberikan toleransi, tolak ansur dan masa yang cukup kepada Kelantan FC melengkapkan syarat-syarat yang diberikan.
“Malah FIB bukan hanya melihat kepada kes-kes peringkat tempatan malah aduan-aduan yang dikemukakan pemain asing diperingkat FIFA. Saya juga tidak mahu menyalahkan kepada pemilik Kelantan FC 100 peratus kerana saya percaya beliau juga sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini.
“Namun FIB masih memberikan masa untuk Kelantan FC membuat rayuan sebelum 8 Januari ini, jadi mereka kena buat sesuatu jika mahu menyelamatkan pasukan,” katanya.
Keputusan yang dibuat FIB ini adalah kerana Kelantan FC telah gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan dibawah sub-kriteria F.04 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At June) dan sub-kriteria F.11 (No Payables Overdue Towards Employees, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – As At August) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.
Dr Pekan juga berharap pemilik Kelantan FC dapat menyelesaikan hutang-hutang tersebut walaupun tidak lagi beraksi di Liga Super musim hadapan.
“Walaupun hukuman dikenakan tidak boleh beraksi dalam Liga Super 2024/2025 tetapi tanggungjawab melangsaikan hutang itu masih perlu dilakukan oleh pemilik Kelantan FC.
“Dan apa yang berlaku ke atas Kelantan FC ini perlu dijadikan pengajaran kepada pasukan-pasukan lain agar menguruskan pasukan dengan penuh profesionalisme terutama dalam melibatkan perbelanjaan pasukan. Pasukan bukan saja perlu memikirkan soal bayaran gaji malah KWSP dan SOCSO juga,” katanya lagi.
Skuad Kelantan Alfredo Vera mengakhiri saingan Liga Super 2023 di tangga tercorot selepas hanya berjaya memungut 8 mata. Kelantan juga mencatat jumlah bolos tertinggi dan menjadi rekod baru selepas sebanyak 121 gol telah dilepaskan.