Advertisement
Pelapis Intan Serah Sudah Dijumpai?
UltraSukan
UltraSukan
Intan Serah/FA Malaysia

Pelapis bagi pemain bola sepak wanita negara seperti Intan Serah, Steffi Sarge Kaur dan Siti Nor Faizah kini telah dijumpai apabila kejohanan-kejohanan akar umbi telah mengangkat beberapa pemain muda untuk diketengahkan pada masa akan datang.

Pada Jumaat, kejohanan Liga Puteri B-15 tahun anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berlangsung di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong telah sampai ke peringkat separuh akhir.

Berdasarkan tinjauan Ultrasukan ke sana, kelihatan masa depan bola sepak wanita Malaysia berada dalam keadaan cerah dengan ‘ubi-ubi’ muda berusia bawah 15 tahun ini mula mempamerkan kebolehan mereka.

Antara nama yang menarik perhatian penonton yang hadir ialah Nina Hasmaji dari pasukan Sabah yang merupakan penjaring terbanyak kejohanan dengan sepuluh gol dan Qaseh Rania dari SSS Leopard yang menjaringkan 2 gol pada perlawanan separuh akhir tersebut.

Dalam masa yang sama, ketika menemu bual beberapa pemain-pemain muda di sana, rata-rata pemain menjadikan bintang bola sepak wanita negara, Intan Serah sebagai idola mereka selain Steffi Sarge Kaur dan penjaga gol, Azurin Mazlan.

Intan Serah atau nama sebenarnya Intan Sarah Anisah Zulgafli merupakan salah seorang tonggak bola sepak wanita negara dan selain turut bergiat aktif dalam sukan futsal.

Pada bulan Jun yang lalu, beliau mencipta sejarah apabila muncul pemain wanita pertama beraksi di Amerika Syarikat dalam saingan Liga Perdana Bola Sepak Wanita (WPSL) bersama New York Dutch Lions FC.

Pada perlawanan separuh akhir tersebut, Kelana United mengejutkan pasukan pilihan, Sabah menerusi sepakan penalti dan akan menentang SSS Leopard di final pada ahad setelah SSS Leopard berjaya menundukkan FEMI9 dalam satu lagi aksi separuh akhir.