Advertisement
Peluang Manchester United ‘Rampas’ Mo Salah Terbuka Luas
Transfer
MakanBola
Liverpool FC

Kelab-kelab besar Eropah termasuk Manchester United kini berpeluang mendapatkan khidmat pemain sayap Liverpool, Mo Salah.

Ini selepas pemain sayap berusia 32 tahun itu mendedahkan beliau masih belum menerima sebarang tawaran kontrak baru daripada pengurusan Liverpool.

“Baik, kita sekarang menghampiri bulan Disember dan saya belum menerima sebaragn tawaran untuk kekal di kelab. Saya berkemungkinan lebih kepada keluar daripada masuk,” katanya kepada NBC Sports.

Sejak menyertai Liverpool pada 2017, beliau sudah menjaringkan 223 gol dan 99 bantuan gol dalam semua kejohanan termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL).

Atas sebab itu, Salah mengulangi pendiriannya untuk kekal di Anfield meskipun kontraknya kini berbaki kurang daripada setahun.

“Anda tahu saya sudah berada di kelab ini selama bertahun-tahun, tiada kelab seperti ini. Walau bagaimanapun, pada akhirnya, itu bukan terletak pada tangan saya.

“Macam saya katakan sebelumnya, (kita bakal menghampiri bulan) Disember dan saya belum menerima sebarang berita tentang masa depan saya,” tambahnya.

Wartawan sukan The Guardian, Andy Hunter percaya faktor perubahan struktur pengurusan kelab dan usia Salah dilihat mempengaruhi usaha memperbaharui kontrak bintang Mesir itu.

Selepas pengurus Jerman, Jurgen Klopp memilih mengundur diri pada akhir musim 2023/24, The Reds membuat beberapa perubahan pada struktur pengurusan.

Liverpool mengumumkan pelantikan Arne Slot dan Richard Hughes masing-masing sebagai pengurus dan pengarah sukan kelab pada awal musim 2024/25.

Bekas pengarah sukan Liverpool sebelumnya, Michael Edwards kembali ke Anfield sebagai ketua eksekutif bola sepak untuk pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG).

Selain faktor perubahan dari segi pengurusan, Liverpool juga dilihat keberatan menawarkan kontrak lumayan bagi pemain berusia 30-an. Isu sama turut mempengaruhi usaha pembaharuan kontrak kapten dan bek tengah, Virgil van Dijk.

Ini kerana Salah dan van Dijk masing-masing bakal menginjak usia 33 dan 34 tahun. Meskipun kedua-dua pihak komited untuk mencapai persetujuan kontrak baru, tempoh lanjutan kontrak dijangka menjadi isu.

Legenda Liverpool, Ian Rush berharap persetujuan dapat dicapai antara pengurusan kelab dan Salah. Ini kerana seandainya bekas pemain sayap AS Roma itu dibenarkan meninggalkan kelab sebagai ejen bebas, beliau bimbang ini akan menjejaskan prestasi The Reds.

“Saya dan Mo (Salah) kerap berbual. Orang bercakap sama ada beliau kekal atau pergi tetapi saya cuma menikmati persembahan beliau di atas padang.

“Persembahannya menggembirakan sesiapa saja yang menonton. Anda fikir beliau tidak melakukan apa-apa untuk 20 minit sebelum kemudiannya, beliau menjaringkan satu atau dua gol.

“Anda tidak boleh beli itu. Itu sesuatu yang istimewa dan beliau seorang pemain yang istimewa. Semua orang mahu beliau kekal (bersama Liverpool),” ujarnya kepada Daily Mail.

Salah berpeluang mengadakan rundingan dengan mana-mana kelab di luar England untuk perjanjian praperpindahan apabila tetingkap perpindahan Januari dibuka.

Selain bintang Mesir itu dan van Dijk, Liverpool juga berisiko kehilangan khidmat Trent Alexander-Arnold. Ini kerana bintang England itu juga memiliki baki kontrak kurang daripada setahun di Anfield.