Advertisement
Peluang Pemain Malaysia Ke Liga Thailand Terbuka Luas
Asia Tenggara
MakanBola
Chonburi FC/Thai League

Peluang pemain bola sepak Malaysia beraksi dalam saingan Thai League 1 musim 2025/26 bakal terbuka luas.

Hal ini selepas pengurusan Thai League 1 bersetuju untuk menambah bilangan pemain import yang boleh didaftarkan kepada tujuh pemain. Kuota ini terpakai kepada semua pemain import dari serata dunia termasuk Asia.

Daripada tujuh pemain yang boleh didaftarkan, hanya lima pemain yang boleh diturunkan di atas padang dalam sesebuah perlawanan.

Kelab-kelab Thai League 1 turut dimaklumkan tiada had untuk mendaftarkan pemain import dari rantau ASEAN. Walau bagaimanapun, hanya dua pemain saja yang boleh diturunkan di atas padang.

Sebelum ini, Thai League 1 hanya dibenarkan mendaftarkan sembilan pemain import termasuk tiga pemain dari rantau ASEAN.

Contohnya, kapten Harimau Malaya, Dion Cools beraksi bersama Buriram United di bawah kuota pemain import ASEAN sementara kuota pemain ASEAN BG Pathum United pula diisi Ikhsan dan Ilhan Fandi.

Perubahan kuota tonggak import Thai League 1 untuk musim seterusnya mendapat persetujuan sebulat suara daripada 16 kelab liga.

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam melihat perubahan ini perlu dilakukan bagi memastikan Thai League 1 terus menjadi antara liga paling mencabar di Asia.

“Penambahan pemain import dalam Thai League bakal menjadikan liga ini lebih kompetitif. Pemain-pemain Thai perlu meningkatkan keupayaan mereka agar dapat bersaing dalam permainan yang makin sengit.

“Mesyuarat liga patut mengambil garis panduan J. League di Jepun sebagai contoh seperti hanya boleh menurunkan lima pemain import.

“Format ini membantu pemain-pemain Thai untuk bangkit dan memajukan diri mereka agar setanding dengan pemain-pemain import,” katanya dalam satu kenyataan.

Nualphan yang mesra disapa Madam Pang turut melihat penambahan pemain import dapat membantu Thailand memintas China dalam ranking pertandingan kelab AFC.

Ini kerana perubahan dari segi kedudukan ranking berkenaan boleh menyumbang kepada pertambahan kuota pasukan yang layak beraksi di Asia.

Ketika ini, Thailand berada di kedudukan keempat yang menawarkan dua slot kelayakan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan satu slot kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Berita ini dilihat berita baik bagi mana-mana pemain Malaysia yang ingin beraksi di Thailand. Hal ini kerana dengan pendaftaran pemain import ASEAN tanpa had, pasukan-pasukan Thai League 1 boleh merekrut pemain tanpa perlu bimbang dengan isu had kuota pemain.

Satu-satunya pemain negara yang beraksi dalam Thai League 1 ketika ini ialah Cools. Sementara seorang lagi pemain Malaysia, Fergus Tierney beraksi untuk kelab Thai League 2, Chonburi.

Situasi ini bakal berubah sekiranya Tierney membantu Chonburi kembali layak ke saingan liga utama Thailand itu pada akhir musim.

Beberapa pemain Harimau Malaya pernah mewarnai saingan Thai League 1 seperti Shahrel Fikri Md. Fauzi (Rakhon Natchasima), Safawi Rasid (Ratchaburi), Dominic Tan (Police Tero), Zafuan Azeman (Uthai Thani) dan Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United).