Selangor FC memiliki peluang terbaik menamatkan kemarau trofi mereka dalam tempoh sedekad menjelang aksi final kedua MFL Challenge Cup pada 22 Februari ini.
Selangor beraksi di final selepas mengatasi cabaran Penang FC di peringkat separuh akhir. The Red Giants memiliki kelebihan satu gol selepas menewaskan PDRM FC 3-2 dalam aksi final pertama pada 15 Februari lalu.
Meskipun beraksi tanpa kapten, Safuwan Baharudin yang digantung perlawanan, peluang Selangor menjulang trofi pertama dalam sedekad dilihat terbuka.
Ini kerana final MFL Challenge Cup dilihat peluang terbaik menebus kekecewaan selepas sekadar bergelar naib juara Piala FA 2024.
Final tersebut menyaksikan Selangor kecundang 6-1 di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Final MFL Challenge Cup turut dilihat peluang terbaik buat The Red Giants menebus kehampaan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Hajat Selangor untuk mara lebih jauh dalam kejohanan tersebut musnah apabila terkandas di peringkat kumpulan. Selangor menamatkan kempen ACL2 di tangga ketiga Kumpulan H dengan 10 mata.
Saingan Liga Super pula menyaksikan Selangor kini di tangga kedua dengan 42 mata, 13 mata di belakang JDT.
Jentera serangan Selangor bakal ditagih Katsuhito Kinoshi untuk memacu pasukan itu meraih kejuaraan pertama mereka. Saingan MFL Challenge Cup menyaksikan Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez masing-masing menjaringkan tiga gol.
Tiga gol tersebut turut menjadi sebahagian daripada 15 gol yang dijaringkan kedua-dua peledak itu dalam semua kejohanan setakat ini.
Kali terakhir Selangor bergelar juara ialah tahun 2015. Tahun tersebut menyaksikan Selangor muncul juara Piala Malaysia 2015.