Kumpulan pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) IV membentuk teras skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) ke pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2025.
Ini berdasarkan senarai 25 pemain yang dipanggil Javier Jorda Ribera bagi menghadapi pusingan kelayakan berkenaan.
Kontinjen AMD diketuai Adam Mustaqim Ahmad Amran. Manakala kumpulan JDT IV pula diketuai Adam Hakimi Mohd Azmi.
Singa Muda Perlis memiliki dua wakil iaitu Alif Hakimi Zamri dan Faris Asyraf Fandi. Sementara Aman Shah Azlan dan S. Chittesh pula masing-masing mewakili Majlis Sukan Sekolah Selangor dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.
Skuad Malaysia B-17 kali ini lebih istimewa kerana ada dua pemain yang berpangkalan di luar negara yang menyertai kem ini. Mereka ialah Kaveen Waran (Perth Soccer Club) dan Kim Johan Nyo Tegnander (FK Jerv).
Skuad ini turut diperkuat dua penjaring terbanyak Piala Belia 2024 iaitu Izzuddin Afif Nazarudin (AMD) dan Abid Safaraz Rozaidi (JDT IV).
Skuad negara bakal menjalani latihan pusat dari 7 hingga 21 Oktober ini. Setelah itu, mereka akan bertolak ke Vientiane, Laos pada 21 Oktober bagi menghadapi cabaran pusingan kelayakan dalam Kumpulan H.
Skuad muda Malaysia bakal berdepan Lubnan pada 23 Oktober. Ini disusuli aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Laos masing-masing pada 25 dan 27 Oktober.
Kesemua perlawanan bakal berlangsung di Stadium Lao National, KM16, Vientiane. Juara kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia B-17 2025.