Advertisement
“Pemain Bukan Robot” – Erick Thohir
Asia Tenggara
MakanBola
Timnas Indonesia

Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir mempertahankan keputusan tidak memanggil nama-nama besar di AFF Mitsubishi Electric Cup.

Pasukan Indonesia bakal menjadi tumpuan di AFF Mitsubishi Electric Cup memandangkan skuad kendalian Shin Tae-yong ini merupakan wakil tunggal Asia Tenggara di pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia 2026.

Seramai panggilan 33 pemain menyaksikan hampir kesemua tonggak utama Indonesia di kempen Kelayakan Piala Dunia tidak dipanggil termasuklah penjaga gawang, Maarten Paes.

Menurut Erick, khidmat Paes sudah pasti tidak dipanggil oleh Shin Tae-yong di kejohanan itu nanti dan kelibat penjaga gol itu dilihat berada di Indonesia ketika ini kerana mahu bercuti.

“Tidak (dipanggil untuk Piala AFF). Saya rasa Maarten Paes sudah lama berjuang, dia mahu bercuti oleh itu dia ada di sini” ujar Erick menurut laporan MakanBola Indonesia.

Jelas Erick lagi, Paes ketika ini memerlukan ruang dan waktu untuk berehat dan menjalani proses pemulihan setelah tampil hebat bersama Indonesia dan kelabnya, FC Dallas di Amerika Syarikat.

“Kadang-kadang pemain perlu berehat, pemain bukan robot. Dia perlukan masa pemulihan,” tambah Erick lagi.

Pada kejohanan AFF Mitsubishi Electric Cup itu nanti, skuad Indonesia telah diundi bersama Vietnam, Laos, Filipina serta Myanmar di dalam kumpulan B.

Aksi pembuka tirai menyaksikan Indonesia bakal bertandang ke Yangon untuk menentang Myanmar pada jam 6.30 petang 9 Disember di Stadium Thuwunna.