Pemain pertahanan Luton Town yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Tom Lockyer kini menggunakan defibrilator khas yang diletakkan di bahagian dadanya.
Pemasangan alat yang dikenali sebagai Implantable cardioverter defibrillator (ICD) itu dibuat selepas beliau tidak sedarkan diri semasa perlawanan EPL Bournemouth menentang The Hatters pada 16 Disember lalu.
Ini bukan kali pertama Lockyer rebah di atas padang semasa perlawanan. Pada Mei 2023, beliau tidak sedarkan diri dalam aksi play-off EPL membabitkan Luton dan Coventry City.
Dalam temubualnya bersama Sky Sports, Lockyer turut menunjukkan ICD yang dipasang pada dadanya.
Kapten The Hatters itu menyifatkan alat ini mampu memberi kejutan kepada jantungnya sekiranya kadar degupan jantung berada di luar parameter normal.
Jadi itulah luka pertempuran saya. Defibrilator saya berada di situ, anda boleh lihat ada wayar yang melintang dan naik ke jantung sekiranya ia perlu dikejutkan.
“Jadi, alat itu sentiasa memantau kadar degupan jantung saya dan jika ia melampaui parameter tertentu maka ia direka untuk memberikan saya kejutan.
“Itulah wayar – bateri bertahan kira-kira 10 tahun jadi hanya perlu ditukar setiap 10 tahun dan mudah-mudahan saya tidak akan memerlukannya tetapi ia ada sebagai langkah berjaga-jaga.” katanya.
Bila ditanya sama ada beliau mampu beraksi lagi selepas ini, Lockyer tidak pasti tentang hal itu. Ini kerana beliau perlu melalui beberapa ujian sebelum diberi kebenaran untuk beraksi semula.
Lockyer juga sudah bercakap dengan beberapa pemain yang beraksi dengan ICD seperti Christian Eriksen (Manchester United) dan Daley Blind (Girona).
“(Kedudukan) saya akan ditentukan oleh kakitangan perubatan dan pakar. Jika ada peluang, saya boleh bermain semula – dan saya tidak akan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan nasihat perubatan – maka saya suka melakukannya.
“Tetapi masih terlalu awal untuk katakan. Terdapat banyak ujian yang perlu dilalui di sebalik tabir. Tetapi saya tidak kata peluang bermain sudah tertutup.
“Jika saya tidak dibenarkan bermain lagi, maka saya boleh katakan saya mengetuai Luton dalam EPL dan saya telah menjaringkan gol EPL.
“Saya sangat bertuah kerana saya mempunyai detik-detik hebat dalam karier saya dan menjaringkan gol EPL merupakan sesuatu yang anda impikan semasa kecil,” tambahnya lagi.
Lockyer sudah merekodkan 14 penampilan EPL, satu gol dan satu bantuan gol untuk Luton Town musim ini.