Aksi terakhir Kumpulan A EURO 2024 membabitkan Hungary dan Scotland terhenti seketika apabila seorang pemain Hungary tidak sedarkan diri selepas dirempuh penjaga gol lawan.
Insiden membabitkan Barnabas Varga itu berlaku pada minit ke-71 perlawanan. Pada ketika itu, The Magyars mengambil sepakan percuma menerusi pemain tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai.
Tatkala kedua-dua pasukan berebut bola yang dihantar Szoboszlai dalam kotak penalti, Varga berlanggar dengan penjaga gol The Tartan Army, Angus Gunn.
Menyedari penyerang Ferencvaros itu tidak sedarkan diri, pemain-pemain Hungary segera memberi isyarat kecemasan. Sesetengah pemain bertindak berkumpul mengelilingi Varga dengan sesetengah yang lain berlari membawa pengusung masuk ke padang.
Perlawanan kemudiannya dihentikan selama tujuh minit bagi membolehkan rawatan diberi kepada kedua-dua pemain.
Varga kemudiannya diusung keluar dari padang sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Persekutuan Bola Sepak Hungary (MLSZ) kemudiannya memaklumkan penyerang berusia 29 tahun itu mengalami konkusi dan keretakan pada bahagian tulang pipi.
“Beberapa tulang pada muka Barnabás Varga patah ketika perlanggaran berlaku dalam perlawanan dan beliau juga mengalami konkusi.
“Penyerang Ferencvaros itu perlu menjalani pembedahan. Beliau akan bermalam di hospital di Stuttgart. Seluruh pasukan menyokong beliau!” kata badan induk bola sepak Hungary itu di X.
The Magyars kemudiannya meraih gol kemenangan menerusi Kevin Csoboth pada minit ke-100. Mereka meraikan jaringan tersebut dengan menayangkan jersi nombor 19 Varga sebagai tanda solidariti.
Kekalahan ini menyaksikan Scotland tersingkir daripada saingan EURO 2024 selepas hanya mengutip satu mata dalam tiga perlawanan.
Hungary berpeluang mengiringi tuan rumah, Jerman dan Switzerland ke pusingan seterusnya dengan syarat mereka berada dalam kelompok empat pasukan ketiga terbaik.