Pemain Kacukan Malaysia-Mesir Mahu Heret Kelab Brunei Ke FIFA
MakanBola
Indera SC

Pemain berdarah Malaysia-Mesir, Amir Abada Tawfik nekad mengheret kelab Brunei, Indera SC ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Portal Harimau Malaya melaporkan keputusan itu dibuat bekas pemain Sabah FC II itu selepas mengalami pengalaman pahit bersama kelab Liga Super Brunei itu.

Amir mendakwa beberapa kewajipan yang dalam kontrak tidak dipenuhi kelab termasuk isu tunggakan gaji.

Situasi ini bukan saja memaksa Amir terpaksa menggunakan wangnya sendiri untuk menanggung perbelanjaan semasa berada di Brunei. Malah, situasi ini turut memberi tekanan mental kepada beliau.

Susulan itu, Amir mahu membawa isu tersebut ke pengetahuan FIFA bagi menuntut haknya sebagai pemain profesional.

Selain Harimau Malaya, kisah Amir turut dikongsikan laman Harimau Abroad menerusi satu hantaran di platform media sosial mereka.

Pada masa sama, beliau masih berharap isu yang timbul antara dirinya dan Indera SC dapat diselesaikan secara profesional.

Amir menyertai Indera SC selepas meninggalkan skuad Sabah FC II pada akhir musim 2024/25.